Dalam program Fiqh bersama Ulama yang menampilkan ulama-ulama dari
negara Arab, pada bulan lepas, antara kertaskerja yang dibentangkan menyatakan
bahawa Hudud hanyalah 1/10 dari dari Islam.
Perkara ini dipersetujui oleh ramai Ulama termasuk Ulama PAS, buktinya,
Hadi Awang sendiri pernah berkata bahawa ‘Hudud hanyalah satu aspek daripada
0.001% daripada hukum Islam’.
Maknanya, tuntutan Islam ke atas sesebuah masyarakat itu adalah
lebih luas mencakupi aspek sosial dan kemanusiaan yang lebih penting seperti
pendidikan yang berkualiti, kemakmuran dan kemajuan negara, keupayaan untuk
menyumbang bagi kesejahteraan manusia sejagat dan berbagai-bagai lagi, selaras
dengan kedudukan manusia sebagai Khalifah di muka bumi.
Tuntutan Islam ke atas seorang individu Islam pula adalah atas
amalan peribadinya kepada Allah S.W.T serta keikhlasan dan kejujuran sesama
manusia. Kesemua ini mengambil tempat
9/10 dari tuntutan Islam yang mana majoriti dari Umat Islam masih menghadapi
kesukaran untuk memenuhinya.
Manakala, kedudukan ‘hudud’ dalam Islam telah pun jelas iaitu jika
sesebuah negara tidak melaksanakan hudud, ia tidak akan menjejaskan
sedikitpun keIslaman seseorang Muslim di
negara itu. Ini kerana hudud,
undang-undang dan kerajaan bukanlah faktor yang menentukan kesudahan seseorang
Muslim di akhirat kelak. Kerana itu,
hudud tidak diletakkan sebagai perkara pertama dalam tuntutan Islam.
Namun, penganut-penganut PAS tetap tegar mengambil sikap
seolah-olah Hudud itu adalah 100% atau perkara teratas dalam Islam dan kalau
tidak melaksanakannya maka segala amalan tidak diterima lagi dan jatuh kafirlah
kerajaan yang tidak melaksanakannya, termasuklah penyokong-penyokong
kerajaan. Penjelasan kerajaan bahawa
hudud masih belum sesuai dan terlalu sukar untuk dilaksanakan di negara ini,
dan pada ketika ini, dibakulsampahkan sebagai kenyataan ‘menolak Islam’ oleh
PAS.
Walaubagaimanapun, PAS tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan
PKR yang juga memberi jawapan yang sama mengenai hudud.
Buktinya, baru-baru ini, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua
Angkatan Muda PKR menyelar Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi kerana
membangkitkan lagi isu hudud. Shamsul
menyarankan agar Nasrudin merujuk kepada persetujuan yang dicapai iaitu hudud
bukanlah sebahagian dari polisi yang dipersetujui oleh Pakatan Rakyat.
Apabila ditanya, kenapa PKR boleh dan UMNO tidak boleh?, PAS,
khasnya, Mahfodz Omar menjawab bahawa PKR mengiktiraf hudud tetapi tidak
menerima perlaksanaannya di Malaysia kerana ia tidak sesuai, tetapi UMNO pula
menolak hudud mentah-mentah.
Jika ini jawapannya, kita ingin bertanya Mahfodz, kenapa pula PAS
tidak ada masalah untuk bekerjasama berjuang mengejar impian untuk berkongsi
kerusi pemerintah dengan DAP walaupun DAP jelas menolak mentah-mentah, malah
sanggup mati daripada membiarkan hudud dilaksanakan?
Kenapa DAP boleh dan UMNO tidak boleh? Pastinya, jawapan Mahfodz ialah kerana DAP
bukan Islam.
Namun, ini bukan soal mengenai keIslaman mana-mana parti. Ia juga bukan soal sama ada satu-satu parti
itu mengiktiraf atau tidak hukum hudud.
Soalnya ialah tentang pendirian PAS mengenai hudud dan apakah PAS
jujur ingin melaksanakannya.
Jelaslah sudah bahawa pendirian PAS mengenai hudud dari dulu
sehingga kini ialah, ia merupakan bahan politik semata-mata serta PAS tidak
punya niat pun untuk melaksanakannya kerana jika PAS serius ingin
melaksanakannya mereka pasti menolak kerjasama dengan PKR dan DAP sebagaimana
mereka menolak UMNO juga. - BB
0 Komen