Anggota Parlimen Tanjong Karang Datuk Seri Noh Omar hari ini
mendakwa berlaku penyelewengan dalam dua projek perumahan di Sekinchan di sini,
termasuk melanggar dasar yang ditetapkan pihak berkuasa.
Beliau berkata projek pembinaan Kondominium Sekinchan Perdana di
sini dibina tidak mengikut dasar Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD)
yang menetapkan setiap pembinaan di atas
0.4 hektar tanah hanya boleh membabitkan 60 unit rumah.
"Malah mengikut dasar itu, rumah yang dibina tidak boleh
melebihi 12 tingkat," katanya pada sidang media selepas melancarkan dua
produk Agrobank Paddy-i dan Paddy Cash-i di sini hari ini.
Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, mendakwa
pembinaan kondominium itu membabitkan 94 unit rumah dengan ketinggian 18 tingkat
jelas tidak mengikut dasar yang ditetapkan JPBD.
Beliau turut mempersoalkan penjualan 24 unit rumah di Pangsapuri
Damai di Taman Sekinchan Damai yang sepatutnya diperuntukkan kepada Majlis
Daerah Sabak Bernam tetapi dijual kepada sebuah syarikat swasta.
"Saya bertanya dan saya harapkan jawapan. Ini bukan tuduhan
tetapi pertanyaan yang memerlukan penjelasan," kata Noh, yang juga
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.
Noh berkata Anggota Dewan Undangan Negeri Sekinchan Ng Sue Lim
perlu memberi penjelasan mengenai perkara itu memandangkan projek berkenaan
berada dalam kawasannya.
Noh berkata perkara itu juga sepatutnya dibawa ke Jawatankuasa
Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban
dan Ketelusan Selangor (Selcat) sekiranya kerajaan negeri benar-benar
mengutamakan ketelusan
0 Komen