Sekretariat Orang Muda
Selangor (Serang) hari ini tampil mendedahkan kepincangan penjualan Pangsapuri
Damai, Taman Sekinchan Damai di Pekan Sekinchan bagi menuntut penjelasan dari
pihak Kerajaan Negeri khususnya melalui ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.
Pengerusinya, Budiman Mohd Zohdi berkata, pada
tahun 2003, syarikat Pemaju Montiara bersetuju mengusahakan sebidang tanah
milik Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan memberikan pemilikan 22 unit
pangsapuri kepada pihak MDSB. Kemudiannya pihak MDSB membeli 2 unit lagi
pangsapuri bagi membolehkannya memiliki keseluruhan blok pangsapuri berkenaan
(jumlah keseluruhan 24 unit)
“Namun pada tahun 2010, pihak MDSB telah
menawarkan tender penjualan 24 unit pangsapuri tersebut kepada syarikat NKK
Enterprise dengan harga RM 1.74 juta bersamaam dengan RM 72,500 seunit
sedangkan harga pasaran pangsapuri tersebut bernilai RM 130,000.
Sehubungan dengan itu, saya ingin ADUN
Sekinchan, Ng Suee Lim menjawab beberapa persoalan yang menjadi tanda tanya masyarakat
setempat, mengapa pangsapuri ini perlu dijual sedangkan dalam suasana industi
pelancongan desa yang giat dijalankan di Sekinchan, sepatutnya pangsapuri
tersebut boleh disewakan sebagai homestay untuk mengisi jumlah pelancong yang
datang ke sini,” ujarnya kepada pemberita selepas membawa pihak media meninjau
ke lokasi Pangsapuri Damai di Taman Sekinchan Damai.
Dalam masa yang sama, masyarakat sekitar hairan
mengapa pangsapuri ini dijual di bawah harga pasaran. Apakah asas pertimbangan
yang digunakan dalam menentukan harga penjualan pangsapuri ini.
“Kita nak tahu, apakah motif sebenar penjualan
pangsapuri tersebut di bawah harga pasaran. Walaupun penjualan ini secara
tender, satu lagi persoalan ialah mengapa hanya satu syarikat sahaja iaitu NKK
Enterprise yang memasuki tender?
Kenapa tidak ada pembida lain yang
berlumba-lumba untuk mendapatkan pangsapuri ini supaya lebih mendatangkan
keuntungan kepada kerajaan negeri. Inikah kebijaksanaan kerajaan negeri dalam
membuat pengiraan pelaburan hartanah?,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO
Bahagian Sungai Besar.
Persoalan seterusnya yang harus dijawab Ng Suee
Lim ialah mengapakah penjualan pangsapuri sebanyak 24 unit ini tidak ditender
secara unit supaya seluruh penduduk Sekinchan khususnya dan di parlimen Sungai
Besar juga berpeluang mendapatkan pangsapuri ini? Malah terdapat rakyat
Sekinchan yang mahu membeli pangsapuri tersebut mengikut harga pasaran.
“Ada atau tidak unit yang dijual merupakan unit
yang diperuntukkan untuk bumiputera? Sehubungan dengan itu, kami berpendapat
ada sesuatu yang tidak kena dalam penjualan aset milik kerajaan negeri. Kita
kesal kerana Ng Suee Lim dan ahli Majlis yang terlibat membenarkan penjualan
ini berlaku. Bukankah ini menyalahi pendekatan kerajaan negeri yang
berkehendakkan ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran.
Kami akan membuat laporan kepada pihak SPRM
agar siasatan boleh dilakukan untun melihat pertalian antara syarikat ini
dengan ADUN Sekinchan. Kita juga mahu mengingatkan Ng Suee Lim dan
konco-konconya agar berhenti dari terus memperbodohkan dan memperlanunkan harta
milik rakyat Selangor,” tambahnya lagi.
0 Komen