Kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besar, Khalid
Ibrahim telahpun secara rasminya bersetuju menanggung bebanan kos guaman Rafizi
Ramli yang didakwa mengikut Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (BAFIA).
Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR merupakan orang yang
bertanggungjawab mendedahkan dan memanipulasi data serta butiran akaun
perbankan NFC sewaktu kemuncak isu pinjaman RM250 juta tempohari.
Berikutan kehangatan isu tersebut diperkatakan ramai, kesannya
telah memaksa Shahrizat Abdul Jalil mengambil keputusan melepaskan jawatan
sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Shahrizat bagaimanapun disahkan bersih selepas siasatan terperinci
oleh SPRM mendapatinya tidak terbabit dalam sebarang perlanggaran undang-undang
atau melakukan amalan rasuah salahguna kuasa berkaitan isu tersebut.
Niat Khalid mungkin baik apabila sanggup menyediakan dana
RM500,000.00 demi menghargai 'jasa' Rafizi yang berjaya mempropagandakan isu
pinjaman tersebut sehingga berjaya mencalar imej Shahrizat Abdul Jalil sebagai
pemimpin wanita yang popular.
Namun, dakwaan melanggar akta BAFIA yang dihadapi Rafizi bukannya
isu remeh temeh ataupun sengaja diada-adakan untuk mengenakan Rafizi sebagaimana
kerap didakwa oleh pembangkang, ia membabitkan soal integriti dan amanah yang
perlu dipertahankan oleh institusi perbankan.
Di masa yang sama akta BAFIA juga penting dalam menjaga
kepentingan pemegang akaun di dalam sesebuah institusi perbankan terutama
sekali untuk memelihara kerahsiaan butiran transaksi mereka daripada
dimanipualsi sesuka hati oleh pihak lain.
Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang memiliki BAFIA. Hampir
setiap negara memiliki akta sedemikian rupa yang matlamatnya sama - melindungi
integriti pihak bank dan memelihara kerahsiaan pelanggan bank.
Gagal mematuhi akta BAFIA sama ada sengaja dilakukan oleh orang
dalam mahupun pihak luar, bermakna wujudnya sifat tidak amanah dan kelakuan
jenayah juga telah berlaku secara sengaja apabila butiran akaun orang lain
sengaja didedahkan untuk kepentingan tertentu.
Lagipun Rafizi bukannya seorang agen yang dilantik oleh pihak
berkuasa untuk melakukan siasatan secara sah atau diberi perlepasan
undang-undang untuk mendedahkan butiran akaun milik mana-mana individu atau
syarikat.
Ringkasnya, apa yang dilakukan oleh Rafizi bukannya satu tindakan
terpuji sebaliknya merupakan kelakuan jenayah yang sepatutnya dihalang dan
dicegah daripada menjadi ikutan atau amalan orang lain.
Jika jenayah membocorkan kerahsiaan dan butiran transaksi akaun
milik orang lain dijadikan amalan rutin disebabkan pembelaan oleh kerajaan
Selangor terhadap Rafizi, bukankah buruk kesannya terhadap nama baik institusi
perbankan kelak.
Justeru itu, eloklah Khalid Ibrahim berfikir sedalam-dalamnya
sebelum meneruskan niatnya untuk melindungi kegiatan penjenayah seperti Rafizi.
Wang ratusan ribu ringgit itu sewajarnya diguna pakai untuk kepentingan rakyat
dan bukannya dibazirkan untuk membela seorang penjenayah.
0 Komen