Isu Air terus dipolitikkan oleh pihak Pakatan
dan Kerajaan Negeri Selangor. Krisis ini
dijadikan mainan politik oleh pihak Kerajaan Negeri, namun fakta membuktikan bahawa
lebih kurang 234 projek pembangunan terpaksa ditangguhkan kerana tiada jaminan
bekalan air dapat disediakan langsung tidak dinafi oleh pihak mereka.
Dalam masa yang sama, Barisan Nasional Selangor juga kecewa dengan
sikap exco Selangor, YB Ean Yong Hian Wah yang melakukan demonstrasi di pejabat
Syabas Kajang baru-baru ini seolah-olah masalah air ini bukan berpunca dari
kelemahan Kerajaan Negeri.
Koordinator BN Selangor, Dato’ Sri Ir Mohd Zin Mohamed berkata, adakah
beliau lupa bahawa beliau kini merupakan kerajaan yang memerintah? Adakah
beliau tidak tahu tanggungjawab kerajaan negeri ialah menyediakan bekalan air
bersih kepada rakyat? Kenapakah beliau cuba mengelirukan rakyat tentang isu
ini?
“Saya pernah menyatakan sebelum ini bahawa Kumpulan Darul Ehsan
Berhad (KDEB) iaitu salah sebuah anak syarikat kerajaan Negeri mempunyai 15%
saham di dalam Syabas dengan seorang wakil dalam mesyuarat lembaga pengarah.
Alasan bahawa Kerajaan Negeri tidak tahu menahu mengenai krisis air ini
langsung tidak masuk akal dan seperti sengaja dipolitikkan oleh mereka.
Berdasarkan maklumat yang kami terima, Pengarah KDEB, Suhaimi
Kamaralzaman telah mengeluarkan surat arahan kepada Pihak ABASS pada tahun 2011
supaya mengurangkan pengeluaran air terawat daripada 145 juta gallon sehari
kepada hanya 120 juta gallon sehari. Tindakan ini menyebabkan berlakunya krisis
air di kawasan Kajang dan Balakong memandangkan ABASS mengendalikan Loji
Rawatan Air Sungai Semenyih,” ujarnya kepada pihak media dalam satu sidang
media di sini hari ini.
Persoalannya, kenapakah Suhaimi mengeluarkan arahan tersebut kepada
ABASS? Adakah pihak KDEB atau Kerajaan Negeri ingin melakukan sabotaj terhadap
rakyat Selangor dan Syabas?
“Kenapa pihak Syabas yang disalahkan sedangkan kawasan yang
mengalami gangguan dikendalikan oleh ABASS? Siapakah yang mengarahkan Suhaimi
supaya mengeluarkan arahan tersebut?
Saya minta supaya pihak yang bertanggungjawab memberikan
penjelasan dan menjawab persoalan ini kerana sebelum ini kerajaan Negeri hanya
menunding jari dan menyalahkan pihak lain jika berlakunya krisis air
terutamanya di kawasan Kajang dan Balakong.
Kami juga mendapat maklumat bahawa saham 15% yang dimiliki oleh
KDEB dalam Syabas turut dicagarkan kepada sebuah bank bagi tujuan mendapatkan
pinjaman sebanyak RM250 juta bagi kegunaan tertentu,” ujarnya yang juga
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor.
Persoalannya ialah, adalah
begitu daif pihak kerajaan negeri sehinggakan terpaksa mencagarkan saham KDEB
di dalam Syabas untuk membuat pinjaman?
Jika benar ini berlaku, mampukan Kerajaan Negeri ingin mengambil
alih Syabas kerana saham berjumlah 15% pun tidak mampu untuk diuruskan dengan
baik inikan pula sebuah Syarikat Pengagihan Air yang begitu penting sekali? Adakah
ini merupakan sikap good governance dan contoh tadbir urus yang beretika?
“Adakah niat sebenar pengambilalihan Syabas hanya untuk menutup
kelemahan Kerajaan Negeri? Apakah tujuan pinjaman tersebut dilakukan? Kerajaan
Negeri Selangor juga begitu berbangga dengan pemberian air percuma yang
kononnya dinikmati oleh seluruh Rakyat Selangor. Pemberian air ini
dilaung-laungkan oleh pemimpin Pakatan bahawa ianya hasil daripada pengurusan
ekonomi yang cekap oleh Menteri Besar.
Namun begitu, kami juga mendapat maklumat bahawa, kerajaan negeri
terpaksa membuat pinjaman sehingga RM300 juta setahun dengan kadar faedah
sebanyak RM8 juta bagi tujuan memberikan air percuma ini. Pada masa yang sama,
bukan semua penduduk mendapat nikmat air percuma yang dijanjikan. Kerajaan
negeri sebenarnya tersepit dalam janji-janji mereka sebelum ini.
Persoalannya, adakah ini
satu langkah pentadbiran yang bijak apabila kerajaan negeri terpaksa berhutang
dengan pihak bank untuk memberikan air percuma?
Bagaimanakah pelan kerajaan negeri untuk melangsaikan hutang-hutang
tersebut? Adakah kerajaan negeri tidak
mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk melaksanakan pemberian air percuma
seperti yang dijanjkan sehingga terpaksa berhutang? Jangan sampai nanti kita
menjadi seperti Cerita Pak Kaduk, yang terpaksa menggadai negeri demi untuk
melunaskan hutang,” ujarnya lagi.
Hakikatnya, kerajaan negeri Selangor tidak mampu untuk mentadbir
dan menguruskan ekonomi dengan baik sehinggakan isu penting seperti pengurusan
air juga tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Langkah terakhir mereka seperti
biasa ialah untuk mengelirukan rakyat dan tidak bercakap berasaskan fakta.
“Saya juga akan mendedahkan beberapa kelemahan lain dari masa ke
semasa supaya Rakyat Selangor dapat menilai sikap sebenar Kerajaan Negeri
pimpinan Khalid Ibrahim ini,” tambahnya.
0 Komen