Lebih 60 NGO tubuh Majlis Gerakan NGO Islam bantu Rohingya


Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam) bersama 61 badan bukan kerajaan (NGO) Asia Tenggara bersetuju menubuhkan Majlis Gerakan NGO Islam yang akan berpusat di Malaysia bagi membantu etnik Rohingya.

Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, gerakan tersebut menggabungkan badan Islam bagi mencari jalan untuk membantu etnik tersebut.

Beliau berkata, kesengsaraan rakyat Rohingya membuka mata masyarakat Islam terutamanya NGO berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut secepat mungkin.

"Antara misi kami ialah menggesa badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menganjurkan persidangan khas mengenai isu ini.

"Malah, mendesak mereka supaya mengambil tindakan ke atas Myanmar yang gagal mematuhi dan menghormati protokol Badan Hak Asasi Manusia Asean (AHRB)," katanya selepas menandatangani Resolusi Persidangan Gerakan NGO Islam Asean Misi Kemanusiaan Rohingya, hari ini.

Antara negara yang terlibat sama adalah Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Kemboja.

Menurutnya, resolusi itu ditubuhkan untuk membantu pelarian Rohingya dari terus dianiaya dan dibunuh oleh pihak berkuasa Myanmar.

"Tindakan pemerintah Myanmar yang hanya mementingkan kerusi politik berbanding kesengsaraan masyarakat Rohingya yang dianiaya dan dibunuh sejak dua dekad lalu," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika rombongannya ke Arakan baru-baru ini, mereka diberi amaran oleh pemerintah Myanmar suapaya tidak meneruskan perjalanan ke perkampungan tersebut.

Beliau bersama ahli rombongan menghadapi pelbagai cabaran kerana disekat oleh tentera mereka dari menjejakkan kaki ke perkampungan tersebut.

Menurutnya, di sebalik kekejaman pemerintah Myanmar, pelbagai pihak tampil memberikan bantuan kemanusiaan terutamanya, Thailand.

"Kementerian Thailand bersimpati dengan nasib masyarakat Rohingya telah membawa isu kesengsaraan mereka ini ke peringkat antarabangsa dengan merujuk kepada OIC.

"Malah, Angkatan Tentera Laut Thailand turut membantu pelarian Rohingya berlindung dari kekejaman rejim Myanmar," katanya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

3 Komen

Post a Comment