Nasib Pekerja Jana Niaga Tidak Terbela Angkara Unisel Berhutang RM15J



Kemeriahan Syawal sudah mula dirasai. Ketika umat islam yang lain sudah mula menyediakan persiapan hari raya, namun buat para pekerja Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), masih buntu untuk menyediakan persiapan memandangkan sejak beberapa bulan ini, mereka tidak menerima gaji mereka.


Keadaan ini memaksa sebahagian besar kakitangan Jana Niaga Sdn. Bhd. (JNSB) hari ini mengadakan demonstrasi secara aman menuntut pihak pengurusan Universiti Selangor (Unisel) melunaskan tunggakan kos pengurusan asrama yang dianggarkan RM15 juta kepada syarikat itu serta-merta.

Kira-kira 100 orang perkerja telah berhimpun kira-kira pukul 2.30 petang di hadapan pintu masuk Unisel di kampus Bestari Jaya, berang dengan tindakan pihak pengurusan Unisel yang menyebabkan mereka berhadapan dengan masalah kewangan kerana JNSB tidak mampu membayar gaji serta tuntutan mereka sejak Mac lalu.
 
Menurut wakil kakitangan JNSB, Norul Hayati Mustafa, pihaknya kesal dengan tindakan Unisel tidak melangsaikan tunggakan berkenaan yang menyebabkan JNSB itu tidak lagi mampu untuk menjalankan operasi pengurusan asrama di universiti berkenaan.

"Unisel tidak jelaskan hutang kepada syarikat kami (JNSB) yang menyebabkan syarikat kami mengalami masalah kewangan. Namun, paling menyedihkan ialah nasib kami semua sebagai pekerja kerana syarikat kami tidak mampu untuk membayar gaji serta elaun kami kerana tindakan Unisel itu.

"Bagaimana dengan nasib kami semua selepas ini. Kami semua ada keluarga, ada anak-anak lebih-lebih lagi sambutan hari raya yang akan tiba tidak lama lagi," katanya yang telah bekerja sebagai Eksekutif Pengurusan di JNSB selama tujuh tahun.

Bagi Noorashikeen Mohd Stap, beliau turut mempertikaikan penjelasan Unisel yang sebelum ini dikatakan tidak boleh membayar hutang JNSB kerana universiti itu mempunyai kengkangan kewangan.

Sebaliknya, beliau difahamkan, kakitangan Unisel telah menerima bonus serta imbuhan lain. 

"Jadi jika Unisel mempunyai kengkangan kewangan, mengapa mereka mampu membayar bonus serta imbuhan kepada kakitangan mereka. Jika Unisel ada kemampuan, mengapa pula hutang mereka JNSB tidak langsaikan," tegasnya lagi.

Dalam masa yang sama, rakan sekerjanya Ahmad Abdul Latif, 45, yang mengakui merasa kekecewaan berikutan tindakan Unisel itu terhadap JNSB yang secara tidak langsung telah menyulitkan kehidupan seharian mereka.

Beliau yang bertugas sebagai juruteknik di JNSB itu, kecewaan tersebut lebih-lebih lagi dirasainya bersama isteri serta lima orang anaknya menjelang sambutan hari raya yang semakin hampir.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan yang turut sama menyertai perhimpunan itu berkata, pihaknya menuntut agar pihak pengurusan Unisel menyelesaikan hutang mereka dengan JNSB sebelum hari raya ini.

Katanya, penyelesaian hutang itu harus disegerakan oleh universiti itu atas dasar mengambilkira hak serta kemanusiaan para kakitangan JNSB yang terpaksa berhadapan masalah kewangan.

"Kalau bayaran yuran guaman kepada Rafizi Ramli (Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat) kerajaan negeri boleh bayarkan, kenapa tidak kepada JNSB bagi membolehkan syarikat itu membayar gaji kepada pekerja mereka.

"Ini bukan soal politik, ini soal hak dan kebajikan para pekerja JNSB.  Selain itu, kita juga minta supaya MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) menyiasat dan melakukan audit terhadap Unisel," ujarnya yang turut kesal dengan sikap Unisel yang tidak menghantar wakil untuk menerima memorandum daripada kakitangan JNSB, hari ini.
Tags: , , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment