Pesakit Kronik Berhasrat Jumpa PM


"Saya nak jumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.” Demikian luah adik Mohammad Amir Zamary, 11, salah seorang daripada tiga beradik yang menghidap penyakit kronik kepada Ketua Pemuda Umno Selayang, Datuk Sohaimi Shahdan yang berkunjung ke rumahnya di Selayang Indah, di sini.

Mohammad Amir yang menghadapi masalah salur pundi kencing tidak berfungsi sejak berusia enam tahun berkata, dia cukup mengagumi Najib dan menjadikan Perdana Menteri itu sebagai idolanya.

Kisah Mohammad Amir mendapat perhatian media sebelum ini kerana bukan dia sahaja mengidap penyakit kronik, malah dua beradiknya yang lain turut menerima nasib sama.

Kakaknya, Nurul Huda Zamary, 12, mengidap penyakit kencing berdarah dan tiroid tahap empat manakala adiknya, Nur Fatihah Zamary, 8, baru disahkan mengidap penyakit kanser tulang.

Anak pasangan Zamary Adam, 43, dan Adiana Othman, 34, itu memerlukan kos rawatan RM1,500 sebulan.

Dalam kunjungan kali ketiga itu, Sohaimi menyampaikan komputer riba kepada Mohammad Amir selain barang berupa keperluan harian sebagai persiapan kanak-kanak itu dan keluarganya menyambut Aidilfitri.

Hadir sama, Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Selayang, Datuk Dr Alwi Abdul Rahman, Setiausaha Kanan kepada Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Imran Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Selayang Indah, Mohd Yunus Md Akhir

Sohaimi berkata, sumbangan komputer riba sebagai usaha pihaknya menunaikan hasrat kanak-kanak itu yang diluahkan pada kunjungannya sebelum ini.

“Selain mengurangkan kesakitan, pemberian itu sebagai motivasi kepada tiga beradik untuk tabah dan kuat melawan penyakit dihadapi.

“Tabung bantuan kanak-kanak itu juga kini mencecah RM38,000 dan usaha akan dipergiat lagi untuk membantu mereka,” katanya.
Mengulas hasrat terbaru pelajar Sekolah Kebangsaan Selayang Baru itu, katanya, ia mungkin sukar, namun tidak mustahil boleh direalisasikan.

"Perdana Menteri kita walau sibuk macam mana pun, beliau cuba penuhi mana-mana hasrat mereka ingin berjumpa dengannya," katanya.

Sementara itu, Imran berkata, pihaknya akan bantu tiga beradik ini dengan melancarkan prosedur rawatan bagi meringankan beban ibu bapa mereka.

“Dua hospital terlibat dalam proses rawatan iaitu Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Selayang.

“Kita akan berurusan dengan  hospital terlibat untuk menyemak status rawatan dan kondisi pesakit serta masa sesuai pembedahan boleh dilakukan,” katanya.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment