Sokong DAP Haram, itu kata putus para Ulama. Sebabnya, DAP menentang Islam dengan tegas
dan lantang. DAP juga sudah terserlah
sebagai parti yang tegar memperjuangkan agama Kristian serta mempunyai agenda
jelas tidak menerima Raja-raja Melayu (yang melindungi kedudukan agama Islam di
Malaysia) serta tidak senang dengan Islam sebagai agama rasmi.
Kemungkinan besar, tidak salah jika dikatakan bahawa DAP berada di
belakang isu murtad di Selangor kerana jelas mereka memberi sokongan kalau pun
tidak membela atau menjadi dalang dalam isu ini.
Namun, PAS tetap teguh bersama DAP, cuba menutup dan
memperkecilkan isu murtad malah sanggup menyepak keluar Dato’ Dr. Hasan Ali
yang lantang membangkitkan isu tersebut.
Maka seluruh umat Islam di Malaysia menjadi hairan bagaimana PAS
yang begitu takbur mendabik dada sebagai parti Islam ekstrem, yang pernah
bermimpi untuk memisahkan wanita dan lelaki di pasaraya, bas, kolam renang dan
menghukum sesiapa saja yang tidak berpakaian mengikut ‘standard’ pemakaian
mereka serta menganggap selagi terdapat botol arak di Malaysia, maka kerajaan
Malaysia wajib ditentang kerana sekular atau kafir, kini memandang sebelah mata
sahaja akan isu murtad.
Sedangkan ‘murtad’ adalah sehabis besar isu bagi umat Islam kerana
ia melibatkan umat meninggalkan agamanya.
Tiada apa lagi yang jauh lebih besar atau lebih tragik daripada seorang
Muslim menjadi murtad.
Oleh itu, kita hanya mampu menggelengkan kepala melihat bagaimana
PAS telah memperkecilkan isu yang sebegitu besar, hanya kerana ingin terus
bersama DAP.
Namun, apa yang nak dihairankan dengan sikap PAS sedangkan prinsip
untuk menegakkan Negara Islam juga sudah lama digadai mereka gara-gara begitu
teruja atau ‘gila’ untuk bersama bergandingan tangan dengan DAP menuju ke
Putrajaya. Hanya akhir-akhir ini, soal
hudud dipolitikkan semula memandangkan Pilihanraya sudah semakin hampir.
Kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud
mengenai hukum haram bekerjasama dengan DAP membuktikan ‘kegilaan’ PAS demi
mengejar kuasa politik. Menurut beliau,
“adalah haram mengundi golongan yang menentang Islam pada dasarnya namun ia
dibolehkan bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui
UMNO”.
Ertinya, beliau mengaku adalah haram untuk bekerjasa dengan DAP
yang menentang Islam tetapi ia dibolehkan bagi menentang UMNO/BN yang
didakwanya menentang Islam juga.
Nampaknya, PAS meletakkan UMNO/BN yang telah membina beribu-ribu
masjid, melahirkan begitu banyak ‘Ulama’ dalam berbagai bidang, menjaga
kebajikan rakyat, memelihara keamanan dan menyeru kepada perpaduan sepertimana
yang dituntut Islam, sebagai jauh lebih ‘kafir’ dari kafir harbi DAP.
Dalam ertikata lain, PAS sanggup menjatuhkan saudara seagama demi
untuk berkongsi kuasa dengan kafir harbi.
Ini adalah pendirian PAS seperti yang telah ditegaskan oleh Ketua
Dewan Ulama mereka sendiri. Ia
diungkapkan dalam ayat yang mudah untuk difahami, jelas serta tidak
diputar-belit oleh sesiapa.
Kini, para Ulama telah pun menyatakan hukum bekerjasama dengan DAP
mengikut Islam iaitu haram, dan Dewan Ulama PAS juga telah menyatakan hukumnya
mengikut ideologi PAS iaitu harus.
Jelas, PAS telah memilih untuk mengutamakan politik dari agama
maka dengan itu tiada guna lagi bagi kita mempersoalkan pendirian mahupun hala
tuju parti tersebut selepas ini.
Justeru, mulai hari ini, kita semua wajar berhenti dari merasa
hairan dengan segala tindak tanduk PAS yang bertentangan dengan Islam.
Kita wajar menerima hakikat bahawa PAS sudah begitu selesa,
gembira dan tenang bergandingan dengan DAP untuk menjatuhkan UMNO, menuju ke
puncak kuasa bersama-sama. Untuk itu,
Islam dan hukum-hakamnya sentiasa perlu diubah untuk disesuaikan dengan
kehendak Kristian-DAP agar kerjasama mereka kekal utuh.
Apa yang tinggal kini ialah terpulanglah kepada para Muslimin
Muslimat di dalam PAS untuk memilih Islam ataupun PAS.
0 Komen