Kenyataan Media
Unisel Semakin Nazak, Akhirnya
Pelajar Jadi Mangsa
Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia Negeri Selangor (Gagasan
Selangor) mendesak Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah segera menangani
masalah yang menimpa Unisel termasuk yang terkini apabila pelajar tidak
dibenarkan menduduki asrama sehinggakan segelintir pelajar ini terpaksa
menjadikan ruang kaki lima Dewan Biru bersebelahan pejabat Jana Niaga Sdn Bhd
dan surau asrama sebagai tempat berteduh.
Pihak pengurusan dan pentadbiran Unisel dan Kerajaan Negeri
Selangor untuk meletakkan ketanggungjawaban dalam memastikan para pelajar ini
selamat dan mendapat pembelaan yang sewajarnya, bukan menjadikan mereka mangsa
dalam kemelut hutang antara pihak Unisel dengan pihak Jana Niaga Sdn Bhd.
Dalam masa yang sama, kita juga mendesak kerajaan negeri khususnya
Khalid Ibrahim untuk menutup sementara Unisel kerana kenyataannya semalam
bahawa Unisel tidak mempunyai Sijil Layak Menduduki (CF) merupakan satu keadaan
yang sangat membahayakan, bukan sahaja kepada para pelajar malah boleh juga
memudaratkan tenaga pengajar dan kakitangan Unisel itu sendiri.
Sehubungan dengan itu, Unisel tidak perlulah memulakan pendaftaran
dan pengajian mereka 27 Ogos ini, sebaliknya uruskan dulu CF bangunan Unisel
atau secara tepatnya, selesaikan dulu pembinaan asrama yang kononnya masih belum
lengkap.
Gagasan Selangor juga hairan, Pemangku Naib Canselor Unisel, Prof
Datuk Anuar Ahmad semalam dalam sidang medianya menafikan wujud dakwaan
pengurusan Unisel tidak cekap dan makan ’duit’ pelajar, sehingga ’terpotong’
sejumlah wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)
terhadap beberapa pelajarnya, sehinggakan difahamkan ada antara akaun pelajar
tinggal RM 100 dari jumlah keseluruhan pinjaman.
Mereka masih nak berdolak dalik, sehinggakan ’terpotong’ duit
pinjaman PTPTN pelajar pun tidak dilihat sebagai bukti ketidak-cekapan pihak
pengurusan Unisel dalam menguruskan pelajar ini.
Tapi bagaimana pula selama ini pihak pengurusan Unisel yang
memotong yuran pengajian dan asrama dari pinjaman PTPTN pelajar, tetapi tidak
pula menjelaskan bayaran asrama kepada pihak Jana Niaga Sdn Bhd sehinggakan
berhutang RM15juta. Adakah ini pula tindakan yang menunjukkan kecekapan pihak
pengurusan Unisel sehingga berhutang sehingga RM15 juta, akhirnya pelajar pula
yang menjadi mangsa hari ini.
Oleh yang demikian, Gagasan Selangor ingin mencadangkan Kerajaan
Negeri Selangor untuk menggunakan Geran Selangorku untuk membantu pihak Unisel
melunaskan hutang kepada Jana Niaga, demi untuk kebajikan dan keselamatan para
pelajar Unisel itu sendiri.
Jika penjenayah seperti Rafizi Ramli pun dibantu kerajaan negeri
dalam membantu menyelesaikan kos guamannya, jika hutang syarikat korporat
seperti Talam Corporation pun dibantu PKNS untuk menyelesaikan hutangnya, apa
salahnya bantu pula pihak Pengurusan Unisel dalam menyelesaikan hutangnya
kepada pihak Jana Niaga pula.
Jika Geran Selangorku tidak dapat membantu pihak pengurusan Unisel
dalam menangani masalah hutangnya, ini bukti bahawa Geran Selangorku digunakan
sebagai alat politik dan bukannya digunakan untuk melestarikan rakyat Selangor.
kini menjadi tanda soal kemana arah tujuan sebenarnya, integriti penyaluran
dana ini dan yang paling penting dari mana datangnya hasil dana ini.
Hakikatnya, perjuangan pihak pakatan mahu menghapuskan pinjaman
PTPTN selama ini hanyalah retorik semata-mata, tetapi hakikatnya duit ini
jugalah yang ’direwangkan’ mereka. Mana pergi pejuang mahasiswa seperti Adam
Adli, mana perginya Khalid Ismath, Solidari Mahasiswa Malaysia (SMM) dan
CheguBard, adakah isu Unisel ini tidak menjadi keutamaan kepada mereka?
Mohd Faizal Mohd Salleh
Setiausaha
Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia
Negeri Selangor (Gagasan Selangor)
Shah Alam, 9 Ogos 2012
0 Komen