Setelah 11 tahun bertungkus lumus menjadi perantara yang ikhlas
dan berdedikasi untuk menyelesaikan konflik berdarah antara kerajaan Filipina
dan kumpulan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), akhirnya usaha tersebut
membuahkan hasil dengan termeterainya Perjanjian Rangka Kerja Mengenai
Bangsamoro 15 Oktober lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai wakil Malaysia
berdiri menyaksi upacara menandatangani perjanjian tersebut di Istana
Malacanang dengan penuh kebanggaan, kesyukuran dan keinsafan sambil disaksikan
juga Presiden Benigno Aquino dan Ketua Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF),
Murad Ebrahim.
Malaysia berasa syukur kepada ALLAH SWT kerana usaha yang
dimulakan dengan niat yang baik dan suci akan menghasilkan natijah yang baik
jua.
Malaysia berasa insaf kerana negara akan menerima nasib yang sama
sekiranya tidak berhati-hati terhadap segala usaha elemen subversif sekarang
yang bermaharajalela di dalam masyarakat.
Bayangkan pimpinan MILF baru kini menyatakan hasrat supaya
Malaysia membantunya membangunkan satu pembangunan tanah seperti skim Felda
yang telah terlaksana sebelum merdeka lagi.
Negara yang huru hara, penuh dengan kacau bilau dan tidak ada
kestabilan politik akan tidak berpeluang untuk menikmati kemajuan bagi rakyat
apatah lagi mampu untuk mengecapi hasil titik peluh daripada usaha tersebut.
Malaysia berasa bangga kerana bak kata Perdana Menteri, negara ini
adalah model dan ikutan kepada negara-negara lain di rantau ini bahkan di
seluruh dunia kerana ia adalah sebuah negara Islam yang maju, stabil dan
progresif.
Kata beliau yang sarat dan penuh bermakna terserlah apabila Datuk
Seri Najib mengatakan mana mungkin Malaysia menjadi contoh yang baik jika ia
sendiri bergolak dan terbelit dalam konflik yang berpanjangan.
Sesungguhnya perjanjian yang menamatkan konflik yang menelan lebih
daripada 150,000 nyawa serta membawa bersama persengketaan tersebut kerugian
yang tidak ternilai harganya adalah satu lagi bukti kejayaan Barisan Nasional
membangun negara ini sejak merdeka ke tahap yang amat dibanggakan kini.
Malaysia adalah model kejayaan sebuah negara yang dahulunya
berlandaskan kepada pertanian asas kepada negara perindustrian menuju dan
seterusnya kepada negara berpendapatan tinggi.
Malangnya semua kejayaan ini akan terancam dan musnah sekiranya
pembangkang mengambil alih kepimpinan negara.
Bukan sahaja pihak pembangkang merubah segala polis dan dasar yang
baik bagi semua lapiran rakyat tetapi yang menjadi mangsa pertama adalah bangsa
Melayu sendiri.
Jika pembangkang menang, jam kemajuan Malaysia akan
dikebelakangkan lebih teruk daripada konflik kerajaan Filipina dan MILF kerana
impak kerosakan dan kemusnahan institusi yang telah dibina kukuh selama lima
dekad akan lebih dahsyat.
Kemusnahan dan kebinasaan yang dimaksudkan bukan dalam bentuk
fizikal tetapi kehancuran masa depan bangsa Melayu daripada bangsa yang
cemerlang dan megah kepada bangsa yang menggemis di bumi sendiri.
Dasar pembangkang yang di bawa oleh Ketua Pembangkang, Anwar
Ibrahim dan pemimpin-pemimpin pembangkang sememangnya seperti halwa telinga
sedap didengar, manis disebut bibir dan terpesona dipandang.
Namun apabila dihalusi dengan pengamatan yang realistik dan
keinsafan seperti cadangan bajet alternatif pembangkang akan membawa negara ke
lembah kehancuran.
Janji pembangkang tidak ubah seperti kata pepatah pujangga Melayu
yang mengatakan disangka intan rupanya kaca yang tidak bernilai.
PAS nampaknya menyanjung tinggi usaha kerajaan Malaysia bagi mengakhiri konflik lebih 40 tahun di
wilayah selatan Filipina itu tetapi Ketua Pembangkang sepi dengan komennya.
Mungkinkah Anwar kecewa kerana Datuk Seri Najib yang ditakdirkan
penghargaan untuk menyaksikan perjanjian tersebut dan bukan dirinya?
Itulah akibatnya apabila niat di dalam hati tidak lurus dan ikhlas
kerana Tuhan sentiasa menolong hambanya yang dizalimi dengan nikmat kemuliaan.
Malah Anwar bingung apabila dunia termasuk negara yang
dicintainya, Amerika Syarikat memuji kepimpinan Malaysia di bawah Datuk Seri
Najib di atas kejayaan membawa keamanan di Nusantara.
Ini merupakan pukulan hebat kepada Anwar hingga menyebabkan
mulutnya tidak dapat berkata-kata dan kepalanya tidak mampu mencari kata-kata
untuk menyanggah penghargaan yang dilimpahkan seluruh dunia kepada Malaysia.
Di bawah pentadbiran Perdana Menteri telah mengejutkan dunia
dengan pelbagai strategi pembangunan negara dan kebajikan rakyat yang unik dan
innovatif.
Daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program
Transformasi Kerajaan (GTP) hinggalah kepada pemberian wang tunai BR1M serta
program KR1M, Klinik 1Malaysia, TR1MA, KADS1M dan lain-lain kemudahan untuk
rakyat, dunia terpegun dan mengiktirafkan kemampuan Datuk Seri Najib menawarkan
penyelesaian bertaraf antarabangsa dikala negara-negara lain di dunia bergelut
dengan pelbagai kemelut dan krisis ekonomi.
Inilah bezanya dengan retorik dan tin kosong Anwar dengan
kesungguhan Perdana Menteri menjana kejayaan melalui perancangan dan usaha yang
gigih.
Akhirnya rakyat akan memilih yang mana satu manikam dan yang mana
satu kaca.
0 Komen