Pertengahan tahun ini kita pernah dikejutkan dengan satu kenyataan
melampau dan biadap dari Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man yang
mengeluarkan arahan meminta ahli PAS menangguhkan ibadah haji sebagai persiapan
menghadapi PRU 13.
Kenyataan Tuan Ibrahim itu bertarikh 5 Jun 2012 dan turut boleh
dibaca dalam akhbar SelangorKini milik kerajaan PKR Selangor terbitan 8 - 15
Jun 2012 yang disebarkan di merata masjid dan surau di seluruh negeri.
Menurut Tuan Ibrahim, penangguhan ibadah haji itu dianggapnya
sebagai wajar kerana PAS memerlukan jentera parti yang kuat dan utuh bagi
melicinkan gerak kerja pilihan raya nanti yang diramalkan akan sengaja
dilangsungkan semasa musim haji.
Berikutan itu, berbakul-bakullah maki hamun dan kejian dilemparkan
terhadap Kerajaan Barisan Nasional dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak oleh penyokong PAS termasuklah dari segelintir bakal jemaah haji pro PAS.
Mereka berandaian kenyataan pemimpin PAS itu benar dan ramalannya
sahih melangkau masa depan walau hakikatnya ia cuma bersifat propaganda murahan
untuk menyemai kebencian umum terhadap pemimpin dan Kerajaan Barisan Nasional
yang memerintah.
Kini, empat bulan sudah berlalu. Polemik pilihanraya di musim haji
sudah tidak kedengaran. Tuan Ibrahim pun sudah semacam kura-kura di tepian
parit menyorok muka bersembunyi dari sindiran rakyat.
Tika ini sebahagian besar jemaah haji sudahpun berada di Kota Suci
Mekah tekun menjalankan ibadah sementara menanti tibanya lambaian haji yang
selama ini dinanti-nantikan.
Lebihkurang 28,000 orang jemaah haji Malaysia dijangkakan pulang
ke tanah air bermula 31 Oktober 2012 nanti, ini bermakna sekalipun jika
parlimen dibubarkan dalam mana-mana tarikh dalam bulan Oktober, mereka tetap
berpeluang untuk terlibat dalam proses pengundian.
Jelas sekali propaganda PAS kononnya jemaah haji akan dinafikan
hak mengundi dalam PRU 13 tidak menjadi kenyataan.
Walaupun demikian, apakah mungkin para jemaah haji hanya sekadar
melupakan saja polemik dan kontroversi yang sengaja dicetuskan oleh pemimpin
PAS?
Tentu sekali tidak kerana diawal polemik pilihanraya musim haji
ditimbulkan oleh PAS, tidak sedikit jemaah haji dari kalngan ahli dan penyokong
PAS terpana sendirian, was-was dan keliru apabila terpaksa memilih antara dua
tuntutan - satu tuntutan agama yang termaktub dalam Rukun Islam dan satu lagu
tuntutan keduniaan demi kepentingan politik kepartian.
Mereka keliru kerana dipaksa mendahulukan hal ehwal duniawi
sedangkan peluang menunaikan ibadah haji dan menjadi tetamu Allah s.w.t tatkala
sudah cukup syarat kemampuannya jauh lebih penting berbanding soal kepartian
PAS.
Bagi segelintir yang tergolong dalam kategori totok dan balaci
karat hijau tentu sahaja mereka tidak kisah mengabaikan ibadah haji demi parti,
namun mujurlah sebahagian besar jemaah haji berjaya melepaskan diri dari
hasutan duniawi dan terus tekad hatinya mendahulukan seruan Illahi.
Sekarang Allah s.w.t telah menetapkan takdir dengan membuka hijab
pembohongan propaganda PAS untuk ditatapi dan diadili oleh umat Islam negara
ini.
Pastinya kepulangan para jemaah haji kelak akan mengimbau kembali
ingatan mereka dengan kejahatan propaganda PAS itu apatah lagi bila
masing-masing mendapat tahu pemimpin PAS yang sama itu juga baru sahaja
menghina bakal penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disama tarafkan
dengan penagih candu dan anak ayam yang kebuluran.
Tuan Ibrahim dan lain-lain pemimpin PAS mungkin boleh berdolak
dalik dengan seribu satu alasan dan takwilan, namun hakikatnya baik para jemaah
haji mahupun para penerima BR1M serta sebahagian rakyat Malaysia beragama Islam
yang lain sudah tidak sabar menunggu masa untuk menghukum PAS dalam PRU 13
nanti.
Dek bahana terlanjur kata terlebih propaganda, kelak badan yang
binasa. Dek kerana huduh tutur kata serta buruk pembawaan sikap akibatnya PAS
perlu menerima kesan pembalasan hukuman yang setara.
0 Komen