Seramai 150 penduduk pangsapuri Mawar di Taman Bunga Raya dekat
sini berkumpul mengadakan demontrasi secara aman menuntut 20 meter padu air
percuma daripada kerajaan negeri Selangor petang tadi.
Penduduk menyuarakan rasa tidak berpuashati terhadap kerajaan
negeri yang dikatakan gagal menunaikan janji mereka sejak 2008 lalu.
Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan hadir bersama
mendengar rintihan rakyat yang semakin tertekan dengan tindakan kerajaan negeri
Pakatan Rakyat.
Selain itu, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS),
Datuk Sohaimi Shahadan turut turun padang menjelaskan isu air yang berlaku
ketika ini.
Kamalanathan berkata, rakyat negeri ini semakin sedar akan
ketidakjujuran kerajaan negeri membantu mereka setelah memerintah negeri empat
tahun.
Katanya, beliau akan menjalankan kerjasama dengan GPRS membantu
menjelaskan isu air yang diputar belitkan kerajaan negeri.
Sohaimi berkata, tindakan penduduk mengadakan perhimpunan itu
adalah usaha terbaik bagi mendapat penjelasan terkini isu yang berlaku.
“Ramai yang sudah berhubung dengan kita, selain memberikan respon
balas di website GPRS dan blog www.hasrat-selangor.blogspot.com , daripada
blog, maklumat yang kita dapat akan dikumpulkan dan kumpulan ini makin
bertambah dan mereka perlukan khidmat guaman dari rakan-rakan peguam untuk
failkan. Kerajaan negeri juga telah menyatakan bahawa mereka sudah bersedia
untuk disaman.
Gerakan ini akan berterusan setiap masa, setiap minggu kerana
kumpulan-kupulan yang berbeza, dari apartmen-apartmen dan perumahan yang
berlainan di kawasan dalam negeri Selangor ini yang kita anggarkan lebih dari
689,000 unit,” ujarnya.
GPRS menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu bertanggungjawab atas
janji dan manifesto yang mereka buat dalam PRU12, perlu sama rata memberikan
air ini kepada semua rakyat tanpa mengira duduk di rumah flat, teres atau rumah
banglo dan perlu membayar kembali mana yang belum mereka lunaskan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk pangsapuri itu, Azman
Mad Zain, 42, berkata, selama 50 bulan mereka tidak pernah menikmati air
percuma yang dijanjikan dalam manifesto pilihanraya umum ke-12 yang lalu.
0 Komen