Rata-rata kedengaran rakyat mengucapkan syukur atas pembentangan
Bajet oleh Dato’ Seri Najib yang menyeluruh, padat dan tepat. Nampaknya, tiada
yang terpinggir dari mendapat perhatian kerajaan iaitu dari golongan miskin dan
sederhana serta merangkumi semua golongan seperti pelajar, pekerja, petani
sehinggalah OKU, menunjukkan yang ianya dirancang dengan penuh prihatin lagi
terperinci.
Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat luar bandar dan
golongan miskin bandar adalah golongan yang paling ‘tercabar’ untuk bersaing
dalam pembangunan yang begitu yang pesat dan ekonomi yang tidak menentu. Dengan
itu, seperti kelaziman, kerajaan tidak pernah melupakan golongan ini dalam
pembentangan Bajet tahunan. Rumah-rumah kos rendah dan berbagai program bantuan
dan peningkatan pendapatan telah disusun khas untuk golongan ini bagi
memastikan kesejahteraan mereka dalam jangka masa panjang.
Namun, hakikat hari ini ialah golongan berpendapatan sederhana
iaitu dalam lingkungan RM3,000 – RM5,000 di bandar juga tidak terkecuali dari
tekanan hebat peningkatan kos sara hidup. Golongan ini diwakili oleh
mereka-mereka yang telah berkeluarga di mana pemilikan hartanah dan pendidikan
anak-anak merupakan keutamaan.
Secara dasarnya, sebuah keluarga di bandar memerlukan
sekurang-kurangnya dua buah kenderaan untuk memastikan segala-galanya
‘berfungsi’ dengan baik. Maka, kos bagi dua buah kenderaan dan sebuah rumah
selalunya sudah menjangkau separuh dari pendapatan bulanan mereka. Itu belum
lagi dikira kos pembantu rumah atau pengasuh, tadika, bas sekolah, kelas agama,
tuisyen, keperluan harian serta kecemasan. Selain itu, kos sampingan yang perlu
ditanggung mereka secara harian semata-mata untuk bekerja, seperti minyak, tol
serta parkir yang tinggi di bandaraya Kuala Lumpur amatlah membebankan.
Dengan pendapatan sebegini, adalah sukar bagi sesebuah keluarga
berpendapatan sederhana untuk membuat simpanan atau pelaburan untuk masa depan.
Oleh itu, ramai yang memilih untuk berniaga sambilan bagi memastikan ekonomi
rumahtangga mereka lebih ‘selesa’.
Akibatnya, masa berkualiti keluarga ini amat terhad, di mana masa
ibu bapa banyak dihabiskan dalam kesesakan lalu-lintas, bekerja sambilan atau
keletihan lalu menyebabkan anak-anak terabai sehingga menyumbang kepada masalah
yang lain pula di dalam masyarakat, seterusnya, negara.
Alhamdulillah, nampaknya kerajaan cukup maklum dan sedar akan
masalah yang membelenggu golongan ini sebagaimana terbukti dalam Bajet yang
dibentangkan semalam. Antaranya, pengumuman mengenai rumah mampu milik sebanyak
123,000 unit di kawasan Sungai Buloh dan Seremban, iaitu kawasan di mana
golongan ini tertumpu bagi mengelak kos sara hidup yang tinggi di bandar.
Selain itu, Skim Rumah Pertama yang sebelum ini dibuka kepada
mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 kini ditingkatkan kepada RM5,000 dengan
gabungan pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 bagi rumah di bawah harga
RM400,000 juga pastinya mensasarkan kepada golongan ini.
Tidak cukup dengan itu, pengurangan cukai pendapatan sebanyak 1%
bagi pendapatan RM2,500 – RM50,000 juga dilihat mampu mengurangkan beban
golongan berpendapatan sederhana ini.
Perlu diingatkan bahawa golongan berpendapatan sederhana bukan
sahaja melibatkan pekerja kerajaan atau kakitangan awam, tetapi juga
pekerja-pekerja swasta. Seperti yang kita maklum, pekerja swasta tentunya tidak
berpeluang menikmati kemudahan pinjaman perumahan sepertimana kakitangan
kerajaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa walaupun Bajet yang dibentangkan
kerajaan adalah menyeluruh iaitu melibatkan golongan petani, pelajar,
kakitangan kerajaan, polis, perubatan, tentera sehinggalah kepada peniaga dan
korporat, tetapi ramai yang terlepas pandang akan golongan pekerja swasta. Oleh
itu, pekerja swasta telah biasa merasa terpinggir dalam pengumuman Bajet oleh
kerajaan.
Namun, dengan skim atau program perumahan yang dibentangkan dalam
Bajet semalam, pekerja swasta kini boleh sama-sama tersenyum dan berterima
kasih kepada kerajaan kerana turut berpeluang menikmatinya.
Justeru, tidak salah jika dikatakan bahawa Bajet 2013 yang
dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah bajet yang terbaik, tepat dan lengkap.
Pembangkang boleh menuduhnya sebagai Bajet Pilihanraya atau apa saja, tetapi
apakah salahnya Bajet Pilihanraya sekiranya ia berasaskan kemampuan sebenar
setelah diambilkira maklumat kewangan yang tepat?
Bukannya seperti Bajet Alternatif yang disediakan dengan
menggunakan imaginasi semata-mata di mana hasilnya ialah bajet khayalan yang
tidak masuk akal dan mampu mengbankrapkan negara.
Jadi, bukankah seratus kali lebih baik bagi rakyat untuk memilih
kerajaan yang membentangkan Bajet Pilihanraya daripada memilih pembangkang yang
berkhayal sambil mencanangkan Bajet Imaginasi?
3:29 PM
Ulasan bajet dari kaca mata lembu2 UMNO !!!!!