Pakatan pembangkang atau lebih dikenali sebagai Pakatan Rakyat
melalui ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan 'Bajet bayangan
2013' di Parlimen baru-baru ini.
Bajet tersebut yang berteraskan Buku Jingga kononnya untuk
memenuhi aspirasi rakyat dan bagi menunjukkan mereka lebih baik daripada bajet
yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Biro Ekonomi & Pembangunan Usahawan Pergerakan Pemuda UMNO
Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, Pakatan pembangkang boleh menjanjikan
'bulan dan bintang' dalam bajet mereka tetapi sebagai rakyat kita perlu sedar
bahawa mereka tidak mempunyai autoriti untuk melaksanakannya.
"Usah terpedaya kerana sekiranya berkuasa sekalipun mereka
tidak mampu melaksakannya seperti mana manifesto pilihan raya umum yang lalu kerana
bagi pakatan pembangkang, ia bukan satu perjanjian untuk dilaksanakan.
Sebaliknya apa yang dibentangkan oleh perdana menteri adalah satu
janji yang wajib untuk ditepati, malah bajet itu sendiri merupakan satu
komitmen daripada kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat," ujarnya
di sini hari ini.
Tambahnya, salah satu dalam bajet pakatan pembangkang untuk
menaikkan gaji minimum untuk pekerja sektor swasta sebanyak RM1,100 sebulan.
Ini hanya gimik politik untuk menarik sokongan rakyat khususnya di kalangan
pekerja sektor swasta.
Kerajaan negeri Selangor sebelum ini pernah mengumumkan
pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 tetapi hanya untuk anak syarikat yang
berkemampuan tetapi hakikatnya sampai sekarang masih belum terlaksana.
"Apa yang rakyat perlu ketahui ialah bajet bayangan yang
dikemukakan itu hanya akan menyebabkan kerajaan mengalami defisit, malah tidak
kompeten untuk perbelanjaan negara.
Ini kerana banyak syarikat, terutamanya syarikat kecil dan
sederhana (SME) tidak akan dapat membayar gaji setinggi itu. Jika mereka
dipaksa, maka kebanyakannya akan gulung tikar kerana kos operasi melambung
naik. Jika syarikat SME gulung tikar, sudah tentu menyebabkan pengangguran yang
teruk.
Jumlah SME di Selangor ialah sebanyak 300,000. Kebanyakannya dalam
sektor perkhidmatan dan pembuatan. Sekiranya 1 syarikat SME mempunyai 5
pekerja, jumlah keseluruhan pekerja yang terlibat dalam SME ialah 1.5
bilion," ujarnya.
Jika ada syarikat yang dapat membayar gaji minimum RM1,100, ianya
akan menyebabkan kos produk meningkat yang seterusnya akan menyebabkan harga
barangan jualan meningkat tinggi. Ini akan menyusahkan rakyat yang terpaksa
membeli dengan harga yang terlalu tinggi.
Tahap gaji minimum yang terlalu tinggi (RM1,100) juga akan
menakutkan pelabur-pelabur baru termasuk pelabur asing untuk melabur di negara
ini.
Kenaikan gaji minimum yang terlalu tinggi ini bukan sahaja untuk
kakitangan kerajaan, tetapi semua termasuk pekerja ladang, kedai mamak dan
sebagainya. Berlaku defisit sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk membayar gaji
sahaja.
"Apa yang nyata, setiap bajet bayangan pakatan pembangkang
gagal mendedahkan sumber kewangan yang jelas mahupun kaedah menjana pendapatan
serta menarik pelaburan bagi menjamin SME sedia ada mampu meningkatkan
produktiviti.
Bagi rakyat biasa, tentu sekali apa yang digula-gulakan oleh
pembangkang itu sangat menarik tetapi sebenarnya banyak lompang dan kelemahan
terutama untuk menunaikan janji-janji itu.
Kesimpulannya, bajet pakatan pembangkang hanya satu janji atau
mimpi yang tidak boleh ditunaikan setelah mengambil kira rekod sepanjang
mentadbir negeri-negeri di bawah mereka," ujarnya yang juga EXCO
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Sent by Maxis from my BlackBerry®
smartphone
0 Komen