Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar
meminta kerajaan negeri Selangor agar tidak menghalang pelaksanaan projek
pengairan di kawasan jelapang padi negeri ini dengan pelbagai kerenah
birokrasi.
"Saya dimaklumkan bahawa projek pembinaan kolam takungan air
untuk pesawah di Sungai Haji Dorani tidak dapat diteruskan oleh Kementerian
Pertanian kerana permit tanah dan batuan belum lagi dikeluarkan oleh kerajaan
negeri," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan padi di Kampung
Sawah Sempadan yang diserang penyakit.
Beliau berkata permit itu amat penting bagi membolehkan tanah dan
batuan dari luar diangkut ke tapak kolam bagi membina ban di kawasan sekeliling
seluas 80 hektar, yang boleh menyediakan 1.5 juta meter padu air.
"Projek bernilai RM26 juta itu sepatutnya siap Ogos lepas,
namun kini baru
45 peratus siap sejak dimulakan tiga tahun lepas... oleh itu,
projek ini disambung setahun lagi," katanya.
Noh berkata jika projek itu siap, ia akan membantu 1,800 pesawah
di Sungai Besar dan Sabak Bernam menangani kekurangan air terutama ketika musim
kemarau.
Beliau berkata selain itu, projek penyenggaraan terusan pengairan
Ban Canal dan Sungai Tengi, yang bernilai RM10 juta, berdepan masalah apabila
jengkaut kontraktor disita kerajaan negeri.
Katanya, pihak kementerian dikompaun RM800,000 dan ia sudah
dibayar bagi membolehkan projek itu diteruskan.
Noh juga berkata projek pengairan di kawasan jelapang padi itu
akan diteruskan walaupun mendapat halangan dariapda kerajaan negeri dalam
pelbagai bentuk.
Mengulas penyakit padi, beliau berkata tinjauan beliau hari ini
mendapati hanya 20 hingga 30 peratus kawasan padi di Sawah Sempadan diserang
penyakit bena perang, bintik perang, ulat batang, lecur daun dan reput tangkai.
Beliau berkata sehubungan itu, pesawah perlu rajin turun ke
bendang memeriksa padi mereka sekurang-kurangnya enam kali semusim supaya
penyakit berkenaan dapat dicegah lebih awal.
0 Komen