Pergerakan Puteri
UMNO Malaysia melihat isu pembelian kapal selam Scorpene seharusnya tidak
timbul lagi kerana tuduhan yang dilemparkan oleh pihak pembangkang sudah tidak
mempunyai asas. Segalanya telahpun diperjelaskan. Bahkan Mahkamah Perancis
telah menolak permohonan pihak pembangkang mengenai isu pembelian kapal selam
scorpene.
Ketuanya, Datuk
Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pembelian yang dibuat dari segi
perundangan telah dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh
Kementerian Kewangan. Bahkan YAB Perdana Menteri kita sendiri telah menjelaskan
bahawa perjanjian pembelian Scorpene telah dibentangkan di Parlimen.
“Datuk Seri Najib
turut menjelaskan bahawa rancangan membeli kapal selam tersebut telah dibuat
sejak tahun 1991 lagi dan pada tahun 1995, Kementerian Kewangan meluluskan
proses pembelian kapal selam dengan harga yang telah ditetapkan oleh Kerajaan
Negara Perancis dan pada ketika itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan merupakan
Menteri Kewangan Malaysia dan beliaulah yang menandatangani dokumen kelulusan pembelian
Kapal Selam Scorpene.
Tindakan pihak pembangkang
menjemput peguam asing bagi memberikan taklimat mengenai isu rasuah dalam
pembelian kapal selam, Scorpene menunjukkan pihak pembangkang seolah-olah mahu
pihak luar campur tangan dalam hal ehwal politik dan undang-undang Negara serta
tidak berasas sama sekali,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, beliau turut bersetuju
dengan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Dr. Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran bahawa
pihak pembangkang suka mengelirukan rakyat dan pihak pembangkang tidak memberikan
gambaran serta maklumat yang betul dan maklumat yang sepenuhnya kepada rakyat.
“Seharusnya bukan isu pembelian kapal selam Scorpene yang
dipolitikkan dan diketengahkan tetapi isu pembiayaan kos perjalanan, kos penginapan
serta yuran guaman William Bourdon dan Joseph Breham. Rakyat seharusnya
mempunyai hak untuk tahu siapa yang membiayai kos-kos tersebut?
Dalam memilih pemimpin serta parti yang
akan membela nasib mereka seterusnya, rakyat seharusnya bertanya pada diri
sendiri bagaimana kita seharusnya memilih seseorang pemimpin itu. Adakah
berdasarkan fakta serta bukti? Ataupun dari segi permainan sentiment dan
tuduhan yang tidak berasas dan tidak pernah terbukti? Tepuk dada tanya selera,”
ujarnya lagi.
0 Komen