Minggu lalu ada dua perhimpunan dianjurkan oleh pakatan
pembangkang, kedua-duanya kebetulan bersangkut paut dengan perkara yang sama
yakni membabitkan isu petrokimia. Perhimpunan pertama berlaku di Pengerang,
Johor dan satu lagi himpunan berlangsung di Shah Alam, Selangor.
Ironinya, dalam isu petrokimia di Pengerang, para pemimpin parti
pembangkang dan NGO proksi mereka membantah pembangunan Hab Penapisan Minyak
dan Petrokimia (RAPID) manakala di Shah Alam pakatan pembangkang dan NGO
proksinya beria-ia menuntut pembinaan kemudahan loji petrokimia yang sama di
Bachok Kelantan.
Dalam perhimpunan di Shah Alam itu, kira-kira 2000 orang penyokong
pakatan pembangkang termasuk dua tiga ratus orang peserta konvoi dari Kelantan
telah berkumpul di Dataran Kemerdekaan Shah Alam sempena penganjuran program
Ceramah Mega Royalti Kelantan.
Program tersebut adalah anjuran Gabungan Profesional Menuntut
Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan ataupun dikenali dengan
singkatan nama ROYALTI, sebuah NGO proksi kepada PAS Kelantan.
Selain daripada menuntut pembinaan kompleks dan loji petrokimia,
mereka juga mahukan pembayaran royalti daripada Petronas atas alasan wujudnya
carigali gas dan minyak dalam kawasan perairan Kelantan serta menuntut supaya
semua hasil gas dan petroleum di daratkan di Pantai Senok Bachok, Kelantan.
Mengikut janji kerajaan PAS Kelantan pada 2003, sebuah kompleks
yang mengandungi kemudahan simpanan gas dan minyak atau dikenali juga sebaga
loji petrokimia akan dibina di tanah seluas 2000 hektar yang turut membabitkan
pengambilan tanah penduduk setempat di Pantai Senok, Bachok.
Jika asas bantahan rakan mereka di Pengerang di ambil kira,
terutama dalam soal projek petrokimia RAPID konon membahayakan nyawa dan
memberi kesan buruk pada alam sekitar serta merugikan penduduk setempat dari
segi pendapatan dan hartanah, timbul persoalan menarik apakah pembangunan
projek loji petrokimia di Bachok Kelantan memberi impak berlainan?
Alang-alang PR dan NGO mereka membantah projek petrokimia RAPID
maka sepatutnya di masa yang sama PAS Kelantan dan NGO proksinya, ROYALTI juga
sewajarnya menolak idea mendaratkan hasil gas atau minyak ke Pantai Senok
Kelantan.
Tapi ia tidak berlaku sedemikian kerana parti pembangkang sama ada
PAS, PKR mahupun DAP serta semua NGO proksi mereka tahu hakikat sebenar, tidak
wujud pun bahaya atau kesan buruk pada manusia mahupun alam sekitar.
Bantahan di Pengerang tapi dimasa yang sama menuntut pembinaan
kompleks dan petrokimia serta meminta pendaratan hasil gas di Bachok Kelantan
cukup untuk membuktikan wayang pembangkang berkaitan bahaya RAPID Pengerang
hanyalah propaganda politik untuk mengabui mata rakyat sahaja.
Logiknya, jika kompleks dan loji petrokimia RAPID di Pengerang
benar-benar mengancan nyawa penduduk dan alam sekitar, bermakna tuntutan
kerajaan PAS Kelantan dan NGO ROYALTI seumpama sengaja mahu membahayakan nyawa
penduduknya. Bukankah begitu?
0 Komen