Pengerusi DAP Pusat, Karpal Singh tanpa berselindung meneruskan
asakannya kali ini dengan nada 'merayu' menuntut PAS supaya menarik balik
keputusan Majlis Syura Ulama parti itu untuk menghalang penggunaan kalimah
Allah oleh bukan Islam khususnya dalam Bible versi Bahasa Melayu.
Bunyinya
seperti mendayu-dayu memujuk, tapi ramai yang faham itu hanya isyarat bernada
'lembut' yang jelas kehendaknya. Suka atau tidak, PAS terhimpit antara
memartabatkan pendirian rasmi Majlis Syura ataupun mendahulukan kepentingan
politiknya dalam PR.
Sebelumnya
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali telah tampil dengan kenyataan tegas bahawa
pakatan pembangkang, PR tetap kekal dengan keputusan Majlis Pimpinan Tetinggi
PR pada 8 Januari 2013 yang membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah
Allah s.w.t dalam kitab Bible.
"Kami
terikat dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat yang telah dibincangkan semasa
mesyuarat. Dan kerana terikat kepada dasar-dasar itu, kami akan berpegang
kepada keputusan itu. Majlis Syura (Pas) tidak berkaitan dengannya," kata
Azmin dalam sidang akhbar di ibu pejabat PKR pada 17 Januari lepas.
Demikian
hinanya kedudukan Majlis Syura Ulama PAS di mata PKR, sedangkan sebagai rakan
sepakatan sepatutnya PKR dan DAP perlu belajar menghormati rakan sendiri
sekalipun mereka sudah masak sangat dengan sikap lalang PAS yang kerap berubah
pendirian mengikut kehendak politik kepartian.
Jika dilihat
dari segi struktur organisasi PAS, kedudukan Majlis Syura adalah yang tertinggi
dalam parti berlabel Islam itu. Seandainya PAS mendominasi pengaruh dan
kedudukannya dalam PR, tentunya desakan mendayu dari DAP dan kenyataan tegas
yang memperlekehkan taraf Majlis Syura oleh PKR tidak akan timbul.
Tapi
disebabkan kedudukan PAS dalam PR sekarang hanyalah setaraf balaci yang
terdesak mahu mencapai angan-angan untuk sama-sama ke Putrajaya bersama PR,
maka senanglah DAP dan PKR memanfaatkannya untuk kepentingan mereka.
Lagipun
Karpal Singh dan Azmin Ali yang diketahui ramai adalah suara rasmi PR dalam
isu-isu sensitif, kedua-duanya amat faham benar selagi PAS kekal bersama PR,
mahu tidak mahu PAS perlu menurut keputusan muktamad yang telah lama
dipersetujui.
Kalau PAS
benar-benar jantan dan bermaruah, sudah lama mereka tinggalkan PR dan tidaklah
termalu sendiri dengan pendirian flip flop Mursyidul Am dan Presiden PAS
sekejap patuh kehendak PR dan kemudiannya bila teruk dikecam khalayak barulah
menyerahkan keputusan selanjutnya kepada Majlis Syura pula.
Antara
kemahuan politiknya utk kekal dengan PR dan kesucian kalimah Allah s.w.t yang
wajib dipertahankan, telah meletakkan PAS dalam keadaan tersepiot dan
terhimpit. Inilah bahananya apabila satu kerjasama politik yang longgar hanya
ditemukan dengan titik persamaan berkongsi musuh yang sama sahaja.
Tatkala
kerjasama dalam BN wujud demi membangunkan negara & rakyat, PR pula
yang menggabungkan DAP, PKR dan PAS atas asas rapuh seringkali diselubungi
isu-isu yang tidak berkesudahan dan masing-masing pula langsung tiada sikap
hormat menghormati sesama sendiri.
Bila sudah
demikian, tak sukar untuk rakyat jangkakan yang negara ini akan berantakan
sepanjang masa sekiranya PR diberi peluang walau sepenggal pun untuk memerintah
tanahair tercinta ini.
Sent from Yahoo! Mail for iPhone |
0 Komen