Kesediaan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dan anggota
rombongannya mengambil risiko besar dengan melawat Semenanjung Gaza, Palestin
minggu lalu sehingga kini masih dipertikaikan dan diperlekehkan oleh pakatan
pembangkang.
Dalam lawatan itu, PM dan rombongan termasuklah isterinya, Datin
Seri Rosmah Mansur serta Ahli Parlimen Bebas, Zulkifli Noordin dan bekas
Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin telah meluangkan masa beberapa jam
untuk melihat sendiri kesan keganasan oleh rejim zionis Israel terhadap rakyat
Palestin.
Di masa yang sama PM juga mengikrarkan kesediaan Malaysia untuk
menjadi orang tengah dalam usaha meneruskan penyatuan Hamas dan Fatah demi
kebaikan Palestin itu sendiri, disamping meneruskan bantuan kemanusiaan.
Nyata sekali keprihatinan PM tidak disenangi oleh juak-juak
bawahan mahupun pucuk pimpinan PR, masing-masing cuba memberi perspesktif
negatif sekalipun menyedari saat ini rakyat Palestin khususnya di Gaza terlalu
mendambakan sokongan umat Islam untuk terus cekal menghadapi kezaliman Israel.
Tidak terkecuali sebuah blog pro PR yang sering menimbulkan isu
kontroversi iaitu suarapakatanrakyat.com turut sama mengulasnya secara negatif
semata-mata untuk meremehkan lawatan bersejarah pemimpin utama negara ke
Palestin.
Blog itu yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Anwar
Ibrahim dan cukup mengagumi karisma kepimpinan Ketua Umum PKR itu, dalam salah
satu artikelnya tanpa berselindung menyifatkan lawatan Najib ke Gaza adalah
satu tindakan yang memalukan negara.
Dikaitkannya kejatuhan sementara pasaran BSKL kononnya berpunca
dari lawatan tersebut sekalipun hakikatnya kejatuhan tersebut hanyalah proses
biasa pasaran saham yang ada tikanya naik dan turun. Tapi disebabkan busuk hati
punya pasal maka dijadikanlah lawatan PM sebagai penyebabnya.
Lebih menjelikkan lagi bila mana blog tersebut juga mempertikaikan
usaha Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk menyatukan Hamas dan Fatah
sebagai usaha yang sia-sia dan tidak layak pun dilaksanakan oleh Dato' Seri
Najib.
Mungkin blog itu tidak mengetahui sejarah penglibatan negara ini
dalam pelbagai urusan antarabangsa yang terbukti keberkesanannya termasuklah
yang terbaru mencipta sejarah penting dalam membantu menyelesaikan konflik di
Filipina membabitkan MILF dengan Kerajaan Filipina.
Selain itu, tindakan penulis blog suarapakatanrakyat melabelkan
Hamas sebagai pihak pengganas malah mencela tindakan Dato' Seri Najib menerima
penghormatan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Al-Aqsa, Gaza yang
digelarnya sebagai universiti yang membiakkan aktiviti keganasan.
Hamas yang istiqamah berjuang melawan kezaliman Israel demi
memerdekakan tanahair Palestin digelar pengganas dan Universiti yang menjadi
tempat anak-anak Palestin menimba ilmu demi membangunkan negara dipanggil
universiti pengganas.
Ini jelas satu penghinaan bukan sahaja terhadap Hamas yang telah
sekian banyak menabur jasa menentang kekejaman Israel malah menghina seluruh
rakyat Palestin.
Tapi bila difikirkan semula, sebenarnya tiada apa mahu dihairankan
dengan penghinaan yang dilemparkan oleh blog itu. Pendirian yang dinukilkan itu
jelas seiring dengan ikrar yang dilafazkan oleh idolanya, Anwar Ibrahim yang
pernah berjanji untuk menjaga dan mempertahankan keselamatan negara Israel.
Bapak borek anak rintik.
0 Komen