Kenyataan Presiden Parti Progresif Sabah
(SAPP) Datuk Yong Teck Lee yang bertegas negeri Sabah mesti bertanding di
majoriti kerusi dalam dewan undangan negeri adalah sesuatu yang menarik dalam
konteks Negeri Di Bawah Bayu itu.
Teck Lee memberi
alasan parti-parti yang ditubuhkan di Semenanjung perlu memberi laluan kepada
parti seperti SAPP untuk menerajui kerajaan sekiranya menang dalam Pilihan Raya
Umum ke 13 nanti.
Katanya ini adalah
penting demi untuk melindungi autonomi negeri tersebut mengikut perjanjian
gagasan Malaysia 1963.
Mesej sebenarnya
dituju kepada tiga parti pembangkang Semenanjung iaitu PKR, Pas dan Dap yang
beria-iya untuk merampas negeri yang menjadi 'deposit undi' bagi Barisan
Nasional untuk sekian lama.
Walaupun SAPP
terkenal dengan slogan parochial 'Sabah Untuk Sabah' yang agak keterlaluan,
namun ia membayangkan hasrat serta pandangan yang terpendam dalam sanubari
pemimpin-pemimpin parti tempatan terhadap parti-parti pembangkang dari
Semenanjung.
Ini berbeza dengan
UMNO yang bertapak di Sabah secara semulajadi dan terhormat dengan menyerap
parti USNO yang diasaskan oleh Tun Datu Mustapha.
Oleh itu rakyat
Sabah tidak rasa janggal menerima kehadiran UMNO di bumi mereka kerana 100
peratus UMNO adalah juga warisan USNO yang banyak berjasa dalam perjuangan
kemerdekaan negeri itu serta peranan besarnya dalam penyertaan dalam
Persekutuan Malaysia.
Bagi rakyat Sabah,
USNO adalah UMNO dan UMNO adalah USNO.
Ini berlainan pula
dengan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat yang berlagak sombong dan angkuh
apabila mula datang ke negeri itu.
Parti-parti ini
berfikiran status dan kedudukan mereka yang dianggap sudah popular di
Semenanjung membolehkan mereka juga diterima dengan tangan terbuka dan senang
hati di Sabah.
Tangapan mereke
meleset sama sekali kerana PKR, Pas dan Dap gagal menyelami perasaan dan
memahami sanubari rakyat Sabah.
Rakyat Sabah
tinggi semangat patriotisme mereka dan oleh kerana itu perjanjian 20 perkara
ditandatangani dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Al Marhum Tunku Abdul
Rahman Putra Al Haj sebelum bersetuju kekal bersama-sama dalam Malaysia.
BN amat memahami senario
politik Sabah dan oleh kerana itu ia berjaya membangunkan ekonomi negeri itu
dengan baik sekali melalui jaringan bijak dengan pemimpin-pemimpin tempatan.
Rakyat Sabah
menyokong BN dengan penuh keikhlasan sementara negeri itu pula dibangunkan secara
adil setaraf dengan negeri-negeri lain di dalam persekutuan.
Ketua Pembangkang
berfikiran Pakatan Rakyat akan mendapat laluan mudah di Sabah tetapi kenyataan
Teck Lee mencerminkan sebaliknya.
Sejak empat tahun
lalu pembangkang dari Semenanjung masih terus gagal meyakini parti-parti
politik Sabah seperti SAPP terutamnnya dalam isu pembahagian kerusi pada PRU13
nanti.
Sehingga kini isu
tersebut masih dalam terawang-awang tanpa keputusan yang muktamad.
Persoalan parti
pembangkang mana yang bakal bertanding di 60 kerusi dewan undangan negeri dan
25 kerusi parlimen terus menjadi teka teki dan igauan kepada Anwar Ibrahim.
Beliau berharap
perkara ini telah dapat diselesaikan sejak lama dahulu tetapi nampaknya
parti-parti Sabah tidak mudah digula-gulakan oleh Anwar dan pemimpin Pakatan
Rakyat.
Malah bekas
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Wilfred Mojilip Bumburing yang meninggalkan BN
untuk menyertai blok pembangkang bersama-sama bekas Timbalan Menteri
Pengangkutan, Lajim Ukin pada Julai tahun lalu, kini bertelagah secara terbuka
dengan Teck Lee berkaitan isu tersebut.
Bumburing yang
bertindak sebagai orang tengah bagi Pakatan Rakyat di Sabah telah mengumumkan
rundingan isu pengagihan kerusi telah digantung, menandakan perpecahan sedang
melanda pakatan pembangkang di negeri itu.
Impian Anwar untuk
menyatukan semua parti pembangkang di Sabah menjelang PRU13 sudah berkecai dan
tinggal harapan sahaja.
Tidak mustahil
sepertimana Anwar melepaskan impian untun menawan Sarawak pada pilihan raya
negeri 2011, beliau juga akan berbuat demikian apabila melihat keadaan di Sabah
sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Hakikatnya Anwat
telah 'dimain' oleh SAPP serta parti lain seperti Parti Pembaharuan Negeri
(STAR), pimpinan Dr Jeffrey Kitingan yang turut berkongsi citarasa politik yang
sama dengan Teck Lee.
Kedua-duanya tidak
mahu Anwar mendominasi politik Sabah dan sudah tentunya tidak mahu PKR, Pas dan
Dap menjadi 'abang long' kepada parti-parti tempatan.
Anwar tamak kerana
mahu memiliki majoriti kerusi yang bakal ditandingi dengan mengenepikan
sentimen dan hak parti-parti Sabah.
Akhirnya sifat
tamak Anwar dan hanya mementingkan diri kini memakan diri sendiri dan Pakatan
Rakyat bakal kecundang di Sabah sebelum pun masuk gelanggang PRU13.
Sent from Yahoo! Mail for iPhone |
0 Komen