Tindakan kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR)
membekukan perbelanjaan modal (capex) kepada Syarikat Bekalan Air Selangor
(Syabas) dari tahun 2008 sehingga sekarang adalah satu penganiayaan kepada
rakyat, kata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang, Sulaiman Abdul
Razak.
Beliau berkata Syabas juga dianiaya kerana kerajaan negeri bukan
sahaja bersikap lepas tangan ketika Selangor diancam krisis bekalan air tetapi
juga menafikan kelulusan untuk syarikat itu mencari pembiayaan sama ada
daripada sumber dalaman atau luar seperti bank komersil.
Namun, katanya, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan peruntukan RM120 juta untuk memperbaiki sistem pembekalan air di
Selangor baru-baru ini, ia ditohmah pula sebagai usaha menyelamatkan syarikat
kroni.
"Kenapa kerajaan negeri tidak mengeluarkan apa-apa pun
bantuan dalam menangani krisis air di Selangor? Mereka hanya bercakap,
mengkritik, melemparkan tuduhan sama ada kepada Kerajaan Persekutuan ataupun
Syabas tetapi tidak menghulurkan apa juga bentuk bantuan," katanya.
Sulaiman Abd Razak, ADUN Permatang |
Beliau mempersoal kenapa kerajaan Selangor sehingga hari ini bersikap
lepas tangan dan menyalahkan Syabas sepenuhnya sedangkan tanggungjawab menyediakan
air bersih jelas terletak pada kerajaan negeri bukan Syabas sepenuhnya.
Sulaiman menjelaskan Syabas hanyalah syarikat yang mengedarkan air
terawat yang dibeli daripada syarikat-syarikat yang memproses air mentah dan
adalah tanggungjawab kerajaan negeri Selangor untuk memastikan air yang
diproses dan kemudiannya dibekalkan kepada rakyat negeri Selangor, Kuala Lumpur
dan Putrajaya adalah mencukupi.
"Jadi saya tak nampak kenapa peruntukan RM120 juta ini nak
dijadikan isu sedangkan dalam waktu yang sama mereka tidak menyumbang apa-apa
pun bagi mengatasi masalah air yang sedang berlaku di Selangor.
"Inilah persoalan yang saya nak beritahu kepada Menteri Besar
dan rakyat negeri Selangor. Kita kena tengok dalam keadaan ini, kerajaan negeri
hanya nak mempolitikkan isu air ini, dengan harapan dapat membina satu persepsi
yang buruk kepada kerajaan Persekutuan, kepada Syabas," katanya.
Beliau menggesa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar
bersama-sama bertanggungjawab dalam soal krisis air di negeri ini dengan
menarik balik arahan pembekuan perbelanjaan modal untuk membolehkan Syabas
beroperasi tanpa gangguan politik.
Ditanya mengenai contoh penganiayaan yang dimaksudkan, Sulaiman
berkata Syabas sepatutnya sudah dapat menggantikan 2,000km paip-paip lama
dalam usaha mengurangkan air yang tidak mendatangkan hasil (NRW) seperti
yang dikehendaki dalam perjanjian konsesi namun hanya berupaya
menggantikan 800 km paip ekoran pembekuan itu.
"Akhirnya, banyak air yang hilang sewaktu penghantaran, sama
ada paip bocor atau melalui kecurian. Dalam isu NRW ini, kalau betul kerajaan
negeri tak nak jadikan isu politik, sepatutnya mereka dah tarik balik pembekuan
capex ini.
"Rakyat pada keseluruhannya amat dukacita kerajaan Selangor
nampaknya melepas tangan dan meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada Syabas. Itu
sahaja yang mereka mampu buat dalam keadaan krisis air," katanya.
Beliau juga berkata Abdul Khalid sepatutnya turun padang sendiri
bagi merasai kesengsaraan rakyat yang menghadapi masalah bekalan air seperti
yang melanda banyak kawasan di Ampang dan Pandan bulan lepas terutama mereka
yang tinggal di rumah-rumah pangsa dan pangsapuri.
Sent from Yahoo! Mail on Android
0 Komen