Seramai 1,888 ibu bapa hari ini
memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor menuntut tunggakan RM1.038
juta kerana gagal memberikan bantuan pendidikan prasekolah kepada anak-anak
mereka seperti yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum 2008.
Saman difailkan Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah
Tinggi di sini hari ini bagi pihak ibu bapa di Selangor yang diketuai seorang
suri rumah, Sarina Hashim, 35.
Mereka menamakan kerajaan negeri Selangor yang terdiri
daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP sebagai defendan pertama dan
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Ketua Eksekutif kerajaan
negeri sebagai defendan kedua.
Kesemua ibu bapa itu berasal dari tujuh kawasan Parlimen
sekitar Selangor iaitu Gombak, Ampang, Pandan, Kelana Jaya, Petaling Jaya
Selatan, Kuala Selangor dan Tanjong Karang.
Peguam yang mewakili plaintif, Kamarudin Ahmad selepas
memfailkan tuntutan itu berkata manifesto itu menjanjikan untuk memberikan RM50
sebulan kepada kanak-kanak prasekolah di Selangor, namun ia gagal dilaksanakan
sehingga ke hari ini.
Sarina ketika ditemui berkata kerajaan negeri sepatutnya
menunaikan janji dengan memberikan elaun itu kerana ia serba sedikit dapat
membantu dua anaknya berumur lima dan enam tahun yang masih belajar di
peringkat prasekolah.
“Kalau ikutkan, kedua-dua anak saya ini yang belajar di
Tadika Kemas sepatutnya mendapat bantuan prasekolah sebanyak RM35 setiap
seorang setiap bulan,” katanya yang berasal dari Gombak.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor
(BBRS), Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata kerajaan pakatan pembangkang
Selangor yang mengeluarkan manifesto berhubung pemberian bantuan itu wajar
menunaikan janji sebaik sahaja memenangi pilihan raya umum yang lepas.
0 Komen