Hari kedua Op Daulat hari ini menyaksikan seorang anggota kumpulan
pengganas ditembak mati dan sembilan mayat ditemui di dalam lubang di kawasan
ladang dekat Kampung Tanduo, Lahad Datu.
Pengganas itu maut dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota
keselamatan yang menjalankan operasi susulan dan penggeledahan di kampung itu
selepas gerakan ofensif oleh pasukan keselamatan negara di kampung yang menjadi
kubu kumpulan pengganas itu semalam.
Selain kejadian pada pukul 6.45 pagi itu, pasukan forensik juga
diserang kumpulan penceroboh ketika menjalankan siasatan di kawasan mayat-mayat
itu ditanam.
Kejadian berbalas tembak antara pasukan keselamatan dan kumpulan
pengganas turut berlaku di tiga lokasi di kampung Tanjung Batu, pada pukul 4.15
petang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Berikutan operasi berterusan anggota keselamatan, Ismail berkata
saki-baki kumpulan itu kini bergerak ke kawasan kampung berhampiran dan
menyamar dengan berpakaian seperti orang awam untuk melepaskan diri daripada
kepungan pasukan keselamatan.
Sehubungan itu, kawasan operasi yang sebelum ini bertumpu di
sekitar kawasan seluas empat kilometer, kini diperluas berikutan kumpulan
pengganas dikesan bergerak ke tempat-tempat tertentu.
Tiada anggota keselamatan yang cedera atau dijadikan tawanan, kata
Ismail sambil sekali lagi mengingatkan orang ramai agar tidak mendengar khabar
angin dan menasihati penduduk di kawasan sekitar berhati-hati dan mendapatkan
maklumat di pos taktikal pasukan keselamatan dan balai polis berdekatan.
Operasi hari ini juga menyaksikan empat lelaki yang dipercayai
mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh ditahan dalam pemeriksaan di Jalan
Lapangan Terbang, kira-kira lima kilometer dari pekan Semporna.
Mereka yang ditahan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan
penceroboh yang terlibat dalam kejadian serangan hendap di Kampung Simunul, di
sini Sabtu lepas yang mengakibatkan enam anggota keselamatan terkorban dan enam
musuh maut.
Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara
menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan
pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Feb lepas.
Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke
rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi
memburu kumpulan pengganas itu.
Operasi susulan dan penggeledahan perlu dilakukan dengan
berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota keselamatan dan berikutan
faktor bentuk muka bumi di kawasan itu.
Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein berkata operasi susulan dan penggeledahan oleh polis dan tentera itu
turut menemui pelbagai senjata api milik kumpulan pengganas rakyat asing itu.
Sejak isu pencerobohan sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera
dan bersenjata di Lahad Datu 12 Feb lepas, lapan anggota polis terkorban iaitu
dua dalam pertempuran di Lahad Datu Jumaat lepas dan enam dalam
serangan hendap di Simunul, Semporna Sabtu lepas.
Dalam tempoh itu, 12 pengganas terbunuh dalam pertempuran di Lahad
Datu pada Jumaat dan seorang dalam pertempuran hari ini, manakala enam lagi
maut dalam pertempuran di Simunul dan seorang pengganas dibelasah hingga mati
oleh penduduk Kampung Senallang Lama di Semporna awal pagi Ahad lepas.
0 Komen