Prebet Ahmad Farhan Ruslan, anggota tentera yang terkorban dalam
kemalangan jalan raya ketika mengiringi konvoi menghantar bekalan makanan
kepada pasukan keselamatan yang bertugas dalam Operasi Daulat di Lahad Datu,
Sabah, hari ini, amat berminat menyertai tentera.
Bapa saudaranya, Mohd Zaki Ghani, 47, berkata Allahyarham
menyertai pasukan tentera dua tahun lepas sebagai mewarisi pekerjaan bapanya,
Ruslan Hassan, 50, seorang pesara tentera.
"Arwah menunjukkan
minat yang mendalam dalam bidang ketenteraan sejak kecil lagi sebab itu dia
amat bersemangat menyertai gerakan dalam operasi itu," katanya kepada
pemberita ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Desa Darulnaim II, Pasir
Tumboh, di sini malam ini.
Suasana sedih dan hiba
menyelubungi rumah keluarga itu terutama apabila ibu Allahyarham, Roslawati
Ghani, 44, terpaksa dipapah sebaik menerima berita kematian anaknya yang
disampaikan oleh beberapa anggota tentera yang mengunjungi rumahnya pukul 3.30
petang ini.
Mohd Zaki berkata Ahmad
Farhan, 21, menelefon ibunya minggu lepas menyatakan dia akan memasuki kawasan
operasi hari ini bersama anggota Batalion 3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)
yang berpangkalan di Sabah.
Mohd Zaki seorang guru yang
tinggal di Lundang mendapat tahu kemalangan yang menimpa anak saudaranya itu
melalui telefon daripada seorang lagi anak saudaranya.
"Saya bergegas ke
rumah kakak saya (Roslawati) kerana khuatir terjadi sesuatu yang tidak diingini
apabila menerima berita yang menyedihkan itu, kerana ayah arwah tiada di rumah
kerana ada urusan peribadi di Singapura," katanya.
Katanya kali terakhir
beliau menemui Ahmad Farhan pada hari raya Aidiladha lepas, sebelum kembali ke
kem tempat dia bertugas di Sabah.
"Saya tidak menduga
itu adalah pertemuan terakhir dengan arwah yang memang rapat dengan saya dan
semua keluarganya," katanya.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menziarahi keluarga Allahyarham, turut menyampaikan sumbangan wang ehsan sebanyak RM10,000
0 Komen