CUBA fikirkan sejak Pilihan Raya Umum 2008 apa yang Parti Keadilan
Rakyat (PKR) tidak lakukan dalam usaha mereka untuk mencari pengaruh politik.
Kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya umum berkenaan melalui
pelbagai manipulasi termasuk menggunakan sentimen perkauman telah memungkinkan
PKR menjadi 'besar kepala'.
PKR merasakan parti merekalah yang terbaik dan jauh daripada
kesilapan dan kesalahan, apa pun yang berlaku ke atas parti atau pemimpin
mereka akan dianggap fitnah dan konspirasi UMNO serta kerajaan Barisan Nasional
(BN).
Kebijaksanaan berhujah dan kepandaian mengalih isu telah
memungkinkan segala keburukan PKR termasuklah melibatkan pemimpin-pemimpinnya
berjaya diredakan.
Bagaimanapun PKR tidak boleh membohongi dan menipu rakyat melalui
strategi politik licik dan songsang mereka selama-lamanya.
Kebenaran tetap kebenaran dan fakta tetap fakta, mungkin pada
awalnya PKR akan berjaya menutupi semua itu melalui sandiwara, putar belit dan
taktik mengalih isu.
Tetapi ia tidak akan bertahan lama dan Pilihan Raya Umum Ke-13
(PRU-13) adalah gelanggang terbaik kepada rakyat membuktikan kepada PKR bahawa
mereka tidak akan selama-lamanya terpedaya dengan sandiwara parti itu.
Parti seperti PKR yang dilihat mengamalkan pendekatan politik
matlamat menghalalkan cara tidak boleh dibiarkan terus wujud kerana mereka
tidak menguntungkan negara sebaliknya hanya memporak-perandakan negara.
Peluang yang diberikan oleh rakyat dalam pilihan raya umum lalu
tidak digunakan sebaik-baiknya, sebaliknya apa yang kita saksikan dari semasa
ke semasa PKR terus mengamalkan politik untuk menanam kebencian rakyat kepada
segala usaha baik kerajaan.
Kajilah tidak ada satu pun perkara yang dilakukan oleh kerajaan BN
yang tidak dipandang serong oleh PKR. Segala-galanya akan diperlekeh dan
persendakan hatta soal keselamatan negara pun turut menjadi 'mangsa'.
PKR mengajar rakyat politik kebencian dan permusuhan bukannya
bersama-sama berganding bahu melakukan pembaikan demi keselamatan negara.
Keadaan itu berlaku kerana PKR sudah kemaruk kuasa, mereka melihat
PRU-13 ini adalah penentuan hidup mati parti tersebut dan usaha terakhir untuk
memastikan pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri.
Sama ada janji yang ditaburkan boleh ditunaikan atau tidak, segala
tindakan boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara atau tidak, ia bukanlah
perhitungan utama.
Bagi PKR, apa yang penting mereka mahu memastikan pemerintahan BN
berakhir dalam pilihan raya umum kali ini.
Sama ada pemimpin atau penyokong tegar mereka hendak mengakui atau
tidak, PKR adalah parti yang penuh dengan konflik, masalah dan 'penyakit',
parti seumpama ini kalau terus dibiarkan berada dalam pentas politik negara ia
boleh mengakibatkan negara musnah.
PKR berasa kuat bukan kerana kekuatan sendiri tetapi atas bantuan
DAP dan Pas. DAP digunakan untuk meraih sokongan masyarakat Cina manakala Pas
untuk meraih undi orang Melayu.
PKR tidak ada apa-apa kekuatan selain bijak bercakap, menabur
fitnah dan melemparkan serangan buruk kepada kerajaan BN...itu sahaja kepakaran
mereka.
Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negeri yang dikuasai oleh
mereka dan kemelut dalaman, segala-galanya 'haru-biru', lintang pukang dan
berkecamuk.
Tetapi pemimpin-pemimpin utama PKR masih mahu mendabik dada
kononnya mereka boleh mentadbir jauh lebih baik berbanding BN.
Sikap politik PKR ini terjadi kerana parti itu bukan ditubuhkan
asas perjuangan bagi membela nasib rakyat atau membangunkan negara sebaliknya
atas sikap dendam dan kebencian apabila pemimpin utama mereka dipecat daripada
kerajaan pada tahun 1998.
Namun pemimpin-pemimpin PKR bijak bersandiwara dan mengambil
kesempatan bagi meraih sokongan politik, ini termasuklah ketika pentadbiran
kerajaan BN berada dalam kedudukan lemah.
Bagaimanapun situasi itu sudah berbeza sekarang, pekung yang ada
kepada PKR tidak boleh ditutup dengan pelepah kelapa atau pun daun keladi.
Perbalahan
PKR mungkin mahu terus bersandiwara kononnya mereka sebuah parti
yang kukuh dan sentiasa mendapat sokongan rakyat tetapi apa yang berlaku sejak
2008 sudah melihat menyaksikan bagaimana PKR kini sedang menuju ke kuburan
politik.
Perbalahan dalaman yang melibatkan pemimpin-pemimpin mereka sudah
menjadi rahsia umum, khususnya melibatkan Presiden PKR, Datin Seri Azizah Wan
Ismail dan Timbalan Presiden, Azmin Ali.
Itulah belum lagi mengambil kira, bagaimana di Selangor, Menteri
Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dikatakan turut berhadapan dengan tekanan
termasuklah wujud ura-ura bahawa Azmin akan menggantikan beliau selepas pilihan
raya umum akan datang jika PKR masih memerintah.
Begitu juga, penulis difahamkan menjelang pilihan raya umum ini,
perebutan menjadi calon-calon semakin hebat dan cantas mencantas semakin
ketara.
Malangnya, di atas pentas-pentas ceramah, pemimpin-pemimpin PKR
terus menggambarkan seolah-olah parti mereka semakin kuat, kukuh dan berwibawa.
Bagaimanapun, menurut satu sumber, PKR semakin memahami penolakan
rakyat khususnya orang Melayu terhadap parti itu.
Mungkin menyedari hakikat inilah pemimpin-pemimpin PKR cuba
sedaya-upaya memperalatkan Pas terutamanya untuk membantu mereka memenangi
pilihan raya.
Pemimpin-pemimpin PKR tidak risau soal sokongan kaum Cina kerana
DAP dikatakan mampu memainkan peranannya dengan berkesan dalam membantu parti
itu.
Apa yang meresahkan PKR ialah sokongan orang Melayu yang dilihat
kini berada di hujung tanduk.
Namun pemimpin-pemimpin PKR tetap yakin sebagai 'pak turut setia'
dalam pakatan pembangkang Pas akan mampu memainkan peranan untuk memastikan
semua calon PKR menang.
Sikap Pas inilah yang menyuburkan politik kebencian dan matlamat
menghalalkan cara yang diperjuangkan oleh PKR.
PKR percaya apa pun yang dilakukan oleh mereka, ia pasti akan
dibela, disokong dan dipersetujui oleh Pas.
Justeru walaupun PKR memahami bahawa sokongan mereka dalam pilihan
raya umum nanti akan merudum namun mereka tidak khuatir kerana
penyokong-penyokong Pas akan setia memberikan undi mereka kepada calon-calon
PKR.
Penyokong Pas akan bertungkus-lumus memastikan calon-calon PKR
menang dan bersedia memanjat pokok dan tiang-tiang bagi mengibarkan bendera PKR
dan DAP di seluruh pelosok.
Namun PKR belum pasti akan mengenang jasa Pas kerana apa yang
lebih penting bagi PKR ialah DAP bukannya Pas. Sebab itulah dalam banyak isu,
PKR tidak pernah peduli apa pendirian Pas.
Malahan PKR sentiasa terang-terangan menyokong DAP contohnya dalam
isu kalimah Allah dan menyatakan ia kesepakatan bersama.
Dan dalam banyak situasi PKR lebih menyebelahi DAP, namun Pas
masih terus mahu bertahan. Justeru orang Melayu perlu memikirkan apakah wajar
pakatan pembangkang perlu disokong kerana dengan sikap 'pak turut' Pas sudah
pasti parti itu tidak akan berupaya melawan kehendak PKR dan DAP jika benar
pakatan itu menang dalam pilihan raya umum nanti.
Ia memandangkan soal politik pakatan pembangkang hanya berkisar
soal penguasaan PKR dan DAP bukannya Pas yang dilayan bagaikan 'melukut di tepi
gantang'.
0 Komen