Pasukan
keselamatan yakin ketua kumpulan militan yang
menceroboh Lahad Datu, Azzimudie Kiram masih berada dengan kumpulan itu yang
kini berkubu di Kampung Tanjung Batu, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu.
Pesuruhjaya
Polis Sabah Datuk Hamza Taib yakin Azzimudie tidak pernah keluar dari kawasan
berkenaan sejak pencerobohan pada 12 Feb lepas.
"Sebagai ketua dia tidak akan lari. Kami masih yakin
dia bersama kumpulan itu," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima
Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas
operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Hamza berkata keyakinan itu bersandarkan kawalan ketat
pasukan keselamatan di kawasan zon merah Operasi Daulat termasuk melalui laut
kerana kawalan di laut adalah amat kukuh dan pemantauan sentiasa dijalankan.
Selepas sembilan hari Operasi Daulat, pasukan keselamatan
menembak mati 56 musuh dan 25 daripada mayat penceroboh militan itu telah
dibawa keluar dari zon merah.
Seramai 156 orang ditahan kerana berada di zon merah
operasi manakala 97 individu ditahan untuk siasatan kerana disyaki terlibat
dengan pengganas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas)
2012 dan dibaca bersama Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan, kata Hamza.
Sehingga kini
10 anggota pasukan keselamatan terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua
tentera. Seorang daripada anggota tentera itu terbunuh dalam kemalangan jalan
raya di Km 37 Jalan Lahad Datu-Kampung Tungku.
Hamza berkata
tiada pertempuran dilapor sejak malam tadi hingga pukul 10 pagi ini dan operasi
kini diperluas ke Sungai Nyamuk berhampiran Tanjung Batu.
Ditanya bila
penduduk Kampung Tanduo akan pulang ke kampung mereka, beliau berkata perkara
itu belum diputuskan kerana terdapat beberapa faktor perlu diteliti.
"Hanya ada 10 rumah di situ. Banyak aspek perlu
dipertimbangkan termasuk sama ada tanah mereka duduki adalah milik mereka atau
tidak dan taraf kerakyatan mereka.
"Pewujudan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM)
juga (menyebabkan) kami harus melihat secara lebih menyeluruh bagaimana untuk
menyelesaikan masalah itu," katanya.
Mengenai kemalangan yang menyebabkan seorang anggota
tentera terbunuh, Hamza berkata kenderaan tentera tiga tan itu yang menyertai
konvoi dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu untuk Operasi Daulat terbabas di Km 37
Jalan Lahad Datu-Kampung Tungku pada 7.30 pagi, semalam.
0 Komen