"Saya reda kerana kematian arwah adalah untuk mempertahankan
negara," kata Ismail Husin, bapa Allahyarham Prebet Ahmad Hurairah yang
terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh militan di Sungai Nyamuk, Lahad
Datu, Sabah, hari ini.
Ismail, 55, berkata beliau
menerima berita sedih yang menimpa anaknya itu kira-kira 2.30 petang ini
daripada seorang rakan Allahyarham yang menelefon memberitahu anaknya terlibat
dalam pertempuran dan terkorban.
"Kali terakhir (Allahyarham) jumpa saya ialah pada hari raya Aidilfitri 2010, selepas itu kami banyak berhubung melalui telefon dan SMS," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bayu Lalang di sini, hari ini.
Ahmad Hurairah, 24, dari
Batalion 7 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Tawau, Sabah, terkorban dan dua
penceroboh militan terbunuh dalam pertempuran di Sungai Nyamuk, berhampiran
Kampung Tanjung Batu.
Ismail, seorang petani, berkata Allahyarham anak ketiga daripada 12 beradik dan seorang anak yang sentiasa mengambil berat serta banyak membantu keluarga.
"Kali terakhir arwah menelefon saya pada 1 Mac, masa itu dua anggota polis terkorban. Arwah beritahu suruh doakannya sentiasa selamat sebab dia nak pergi ke Lahad Datu.
"Kali terakhir arwah (menghantar) SMS ialah 10 Mac (Ahad) beritahu dia kena 'standby' untuk ke Lahad Datu," katanya sambil memberitahu Allahyarham telah empat tahun berkhidmat dalam tentera.
Ibu Allahyarham, Rahmah
Mamat, 50, berkata beliau memang sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu
tetapi demi perjuangan untuk mempertahankan negara, beliau reda dengan
ketentuan Allah SWT itu.
Anggota keluarga, kenalan
dan penduduk kampung mula berkumpul di rumah keluarga Allahyarham untuk
menunggu ketibaan jenazah.
Jenazah Allahyarham
dijangka tiba pagi esok dan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung
Lalang.
0 Komen