Kesemua enam anggota polis yang maut dalam insiden serangan hendap
oleh kumpulan bersenjata di sebuah kampung di Semporna, Sabah dinaikkan
pangkat, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan perkara itu
kepada beliau selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Supt
Ibrahim Lebar, 52, dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, setibanya jenazah
mereka di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini hari
ini.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengucapkan terima kasih
banyak-banyak kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas kenaikan pangkat ini.
Mudah-mudahan ia dapat membantu mengurangkan beban keluarga mereka," kata
Khalid kepada pemberita.
Turut terbunuh dalam serangan hendap Sabtu lepas di Kampung Sri
Jaya, Simunul, Semporna ialah ASP Micheal Padel, 36, Sarjan Baharin Hamid, 49,
Sarjan Abdul Aziz Sakirun, 48, dan Koperal Salam Togiran, 42.
Khalid berkata PDRM akan menghulur bantuan lain yang layak
diterima kepada keluarga mangsa.
Terdahulu, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta ratusan
pegawai dan anggota polis lain memberi penghormatan terakhir kepada kedua-dua
jenazah.
Turut hadir isteri Sultan Johor Raja Zarith Sofia Sultan Idris
Shah; Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah; Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin; bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad; dan Ketua Wanita
Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
0 Komen