Fasa pertama Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang melabuhkan
tirainya tahun lalu mencatat pencapaian dan kejayaan nyata bagi kesemua tujuh
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dilaksanakan demi kesejahteraaan
rakyat, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri dalam prakatanya "Maju Ke Hadapan Menuju GTP
2.0" untuk Laporan Tahunan GTP 2012, menyifatkan GTP 1.0 yang dilancarkan
pada 2010 sebagai wadah yang menghamparkan persediaan asas bagi transformasi
dan inovasi yang lebih besar sepanjang satu dekad setengah akan datang.
"Dengan fasa pertama GTP, saya berbesar hati melaporkan
bahawa usaha besar-besaran oleh kerajaan ini telah menjana keberhasilan yang
ketara," katanya dalam laporan tahunan yang dikeluarkan Unit Pengurusan
Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Katanya, sejak pelaksanaan GTP, kerajaan memastikan rakyat
Malaysia memperoleh akses kepada barangan dan perkhidmatan yang berkualiti dan
pada nilai terbaik; menjadikan Malaysia negara lebih selamat bagi setiap rakyat
dengan membanteras sebahagian besar jenayah; membasmi kemiskinan tegar dan
memberikan bantuan yang signifikan kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Selain itu, katanya, ia juga mengambil langkah membanteras rasuah
dan mendapatkan kerjasama rakan daripada sektor swasta mengembalikan
kepercayaan rakyat terhadap kerajaan; mempertingkat kualiti pendidikan bagi
semua pelajar di Malaysia bertujuan memberi kemahiran yang bersesuaian kepada
mereka untuk bersaing dalam pasaran global serta mempertingkat dengan ketara
akses kepada infrastruktur dan menambahbaik sistem pengangkutan awam terutama
di kawasan kritikal seperti Lembah Klang, untuk mempertingkat taraf kehidupan
rakyat.
Tujuh NKRA itu yang menjadi tonggak GTP ialah mengurangkan
jenayah, membanteras rasuah, meningkatkan pencapaian pelajar, meningkatkan
taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat infrastruktur
asas luar bandar, mempertingkat pengangkutan awam bandar dan menangani kos sara
hidup rakyat.
Najib berkata, perubahan itu ialah yang dituntut oleh rakyat dan
yang mendorong kerajaan untuk menggembleng usaha yang besar untuk mencipta
kejayaan.
Beliau turut menjelaskan pelbagai rintangan dan kesukaran yang
dihadapi untuk melaksanakan program perubahan itu namun cabaran yang dilalui
memberikan dorongan kepada kerajaan untuk melipatgandakan usaha bagi fasa
seterusnya.
"GTP yang menyasarkan Perkhidmatan Awam terutamanya, lebih
sukar daripada apa yang dijangkakan. Menerusi fasa pertama ini, terdapat keluk
pembelajaran penting yang telah dapat kami timba manakala sebahagian inisiatif
pula tidak berjaya mencapai sasaran tinggi yang ditetapkan pada peringkat awal.
"Hal yang sedemikian sememangnya dijangkakan berlaku terhadap
program perubahan sebesar ini," katanya.
Najib berkata, kerajaan sedar bahawa GTP tidak lari daripada
berhadapan dengan kesangsian dan keraguan apabila ia mula diperkenalkan, dan
juga keputusan daripada pelaksanaan GTP.
"Kami sangat mengalu-alukan penelitian yang sedemikian.
Bagaimanapun, ingin saya memberikan jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan akan
terus bersikap terbuka dan telus sepenuhnya berkaitan dengan matlamat GTP dan
pencapaiannya yang diraih.
"Malah, setiap satu daripada NKRA akan terus melalui proses
pengauditan dan pengesahan yang ketat oleh penilai tempatan dan antarabangsa
demi menghapuskan sebarang keraguan terhadap keabsahan penilaian
keputusan," katanya.
Walaupun berharap keputusan penilaian berupaya meyakinkan para
pengkritik terhadap merit rancangan kerajaan, Najib mahu lebih ramai rakyat
Malaysia tampil ke hadapan dan memberitahu bagaimana kerajaan dapat mengubah
negara yang dicintai ke arah yang lebih baik.
Katanya, terdapat lebih banyak cabaran menanti di hadapan dan
lebih banyak yang perlu dilakukan sebelum dapat menyatakan misi telah tercapai.
Katanya, iktibar utama yang diperoleh daripada GTP 1.0 ialah
kerajaan tidak berupaya mencetuskan perubahan secara bersendirian dan GTP
memberikan impaknya kepada setiap rakyat mencakupi keluarga, perniagaan kecil
hinggalah syarikat multinasional.
"Ia tidak berupaya menggapai matlamatnya yang bercita-cita
tinggi tanpa penyertaan anda semua. Seperti yang kerap kali saya tekankan, masa
bahawa 'kerajaan mengetahui segala-galanya' telah berakhir dan dalam semangat
1Malaysia, kita kini memerlukan rakyat untuk memainkan peranan yang lebih besar
dalam membantu kami terus memajukan negara.
"Nyatakan kepada kami bagaimana kami boleh memberikan khidmat
yang lebih baik kepada anda, juga nyatakan kepada kami bagaimana kerajaan dapat
memberikan lebih makna kepada kehidupan anda," katanya.
Najib berkata, kerajaan tidak boleh lagi membiarkan walau seorang
pun rakyat keciciran dalam menuju masa hadapan yang lebih cerah dan yakin
matlamat GTP mampu direalisasikan sepenuhnya dengan sokongan kukuh daripada
rakyat.
0 Komen