Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk
Seri Noh Omar hari ini berkata lebih baik kerajaan Selangor menghentikan"sandiwaranya"
kononnya perlu mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas)
terlebih dahulu sebelum dapat menyelesaikan isu air di negeri itu.
"Jikalau kerajaan negeri mengambil alih Syabas pun belum
tentu masalah kekurangan air akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,"
katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Bantuan Baucar Buku 1Malaysia
untuk pelajar Malaysia di Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) di sini
hari ini.
Beliau berkata oleh kerana rizab air yang kurang di Selangor iaitu
satu peratus daripada 20 peratus yang sepatutnya, sejumlah 87,754 projek
perumahan baharu yang memerlukan 147.87 juta liter sehari (jls) tidak dapat
dimulakan.
Begitu juga dengan pembinaan 6,240 unit kedai dan komersil baharu
dengan keperluan air 38.02 jls, 4,330 unit pusat beli-belah baharu dengan
keperluan air 9.49 jls, 3,159 unit hotel baharu dengan keperluan air 10.76 jls, 830 kilang baharu dengan
keperluan air 31.24 jls dan 4,038 rumah ibadat dan sekolah baharu dengan
keperluan air 900,000 liter sehari tidak dapat dimulakan, katanya.
"Apakah kesannya kepada ekonomi Selangor? Peluang kerja
berkurangan dan Selangor akan jadi lebih mundur sebab kerajaan Selangor (hanya)
bercakap, bukan nak selesaikan masalah rakyat," kata Noh.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan tidak ada masalah jika
kerajaan Selangor hendak mengambil alih Syabas tetapi jangan kaitkan isu
berkenaan sehingga pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang dijangka dapat
mengelakkan Lembah Klang daripada menghadapi krisis air selama 20 tahun akan
datang masih lagi tertangguh.
Noh berkata Kerajaan Persekutuan yang berpandangan jauh dalam pelaksanaan dasarnya yang menjaga kepentingan
rakyat telah merancang Projek Langat 2 sejak 16 tahun lepas bagi mengatasi masalah
air yang dijangka berlaku pada tahun hadapan.
Sementara itu, Noh dalam ucapannya pada majlis itu berkata beliau
hairan mengapa orang luar termasuk MEDIU boleh kagum dengan keadaan sosial,
politik dan ekonomi Malaysia dan tertarik untuk datang melabur di Malaysia
sedangkan ada rakyat Malaysia yang tidak menghargai faktor-faktor itu.
Rektor MEDIU Prof Dr Mohammad Khalifa Al Tamimi berkata Malaysia
dipilih kerana ia sebuah negara Islam dengan kemudahan prasarana teknologi
maklumat yang lengkap, kehidupan masyarakat yang unik di mana masyarakat
berbilang kaum dan agama hidup harmoni selain daripada kekuatan ekonomi
Malaysia seiring dengan kestabilan politiknya.
Mengenai pandangan sama ada anggota keselamatan yang gugur
berjuang menentang pengganas Sulu di Sabah dianggap syahid, Mohammad Khalifa
berkata mereka dianggap syahid kerana terkorban semasa mempertahankan negara
Malaysia yang berdaulat dan juga hak rakyatnya.
MEDIU yang memulakan operasinya pada tahun 2010 dengan konsep
memberi perkhidmatan pendidikan tanpa keuntungan atau wakaf kini menerima 3,000
pelajar daripada lebih 90 negara.
0 Komen