Inisiatif berpaksikan rakyat yang dilaksana Barisan Nasional (BN)
merupakan kunci untuk parti itu menawan semula Selangor pada pilihan raya umum
(PRU) ke-13, kata Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Mohd.
Zin Mohamed.
Beliau berkata, inisiatif itu memainkan peranan penting bagi BN
mendapatkan semula kepercayaan rakyat di Selangor seperti dapat dilihat dengan
prinsip ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’ yang diamal kerajaan pusat
pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak melalui konsep 1Malaysia.
“Kekuatan BN itu kekuatan 1Malaysia melalui ‘rakyat didahulukan
pencapaian diutamakan’. Apa sahaja yang kita dilakukan mesti untuk menawan
kembali hati rakyat. Mesejnya jelas … apapun perkara yang dilakukan mesti
people-centric initiatives“.
“Bagi mendapatkan kepercayaan rakyat mesti ada sifat keprihatinan
dan bila berjanji kita tunaikan. Kita tidak mahu menjadi seperti pembangkang
cakap setinggi langit tapi tidak mampu tunaikan,” kata beliau ketika berucap
semasa melawat kawasan Parlimen Gombak di sini hari ini.
Selain Parlimen Gombak, beliau turut melawat kawasan Parlimen
Ampang untuk meninjau persiapan BN dalam menghadapi PRU ke-13 tidak lama lagi.
Mohd. Zin berkata, kerajaan pusat telah banyak berbincang dengan
kerajaan Selangor bagi menyelesaikan masalah dan memberikan kemudahan baharu
kepada rakyat di Selangor tetapi kedegilan Menteri Besarnya Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim dan sifat pembangkang yang suka mempolitikkan semua isu menjadi
batu penghalang ke arah usaha berkenaan.
“Seperti isu air dapat diselesaikan dengan (pembinaan) Empangan
Langat 2 tetapi Khalid masih berdolak-dalik,” katanya.
Pada sidang media selepas lawatan beliau ke kawasan Parlimen
Ampang, Mohd. Zin berkata, BN Selangor akan melancarkan manifesto khas
berpaksikan kepentingan rakyat negeri itu.
“Kita masih dalam proses memurnikan manifesto kita untuk rakyat
Selangor bagi memastikan manifesto ini dapat menawan hati rakyat Selangor
selain mampu kita laksanakan, bukan seperti pembangkang yang tidak menganggap
manifesto sebagai janji kepada rakyat.
“BN Selangor juga sedang giat meneliti janji kita kepada rakyat,
kita mahu memastikan setiap janji yang kita nyatakan dapat ditunaikan. Selain
itu kita juga menyemak keberkesanan program kita bagi memperkukuh usaha kita
menawan kembali Selangor,” katanya.
Mohd Zin berkata, sehingga kini rakyat di Selangor menunjukkan
keyakinan yang amat memberangsangkan kepada usaha BN itu, namun beliau
mengingatkan jentera BN supaya tidak sekali-kali lalai dan cepat berpuas hati
atau peristiwa pada 2008 berulang kembali.
Sumber: Watan-Online
0 Komen