Noraziah Nor, 29, isteri kepada anggota komando Insp
Zulkifli Mamat, 30, tidak dapat menahan sebak dan pengsan sejurus menerima
berita kematian suaminya.
"Nak balik, Azi nak balik, tolong bawa Azi balik, tolonglah
sesiapa hantar Azi balik...," begitulah rintihan Noraziah yang dilihat
tidak berhenti-henti menangis ketika ditemui di kediaman bapa angkat pasangan
itu di Bandar Baru Putra, Bercham di sini.
Noraziah yang merupakan guru di sebuah sekolah di Tanjung Rambutan
terpaksa dipimpin beberapa jiran dan anggota keluarga kerana pengsan sebelum
dihantar ke klinik berhampiran.
Pasangan yang menetap di Bandar Baru Putra, Bercham itu mempunyai
dua cahaya mata iaitu Mohammad Akmaluddin, 5, dan Mohammad Akhil, setahun dan
Noraziah kini mengandung anak ketiga.
Zulkifli, adalah antara dua anggota komando yang terkorban dalam
insiden tembakan membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan
Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah hari ini.
Sementara itu, bapa angkat pasangan itu, Sjn Hussain Harun, 53,
yang merupakan jurulatih pusat latihan Pasukan Gerakan Am (PGA), Hulu Kinta
berkata beliau menerima berita itu
selepas solat Jumaat sebaik sahaja Noraziah datang ke rumahnya.
"Saya cukup terkejut apabila mengetahui berita ini dan Aziah
terus pengsan sebaik memberitahu kami.
"Saya mengenali arwah pada tahun 2004 semasa dia menyertai
Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) UUM dan saya merupakan pengajar
untuk pandu arah peta," katanya sambil memberitahu kali terakhir beliau
bertemu arwah ialah minggu lepas sebelum bertolak ke Lahad Datu.
Ibu angkat Allahyarham Noor Ainita Mohamad, 49, berkata
Allahyarham seorang yang baik hati dan peramah.
"Arwah memang rapat dengan suami saya...sekiranya ada masalah
arwah akan datang rumah dan cerita masalah dia pada kami. Kehilangannya sangat
dirasai," katanya.
0 Komen