Perkembangan terkini di Lahad Datu menyatakan yang pihak pengganas
Sulu sudah mula menunjukkan tanda-tanda kekalahan.
Dikhabarkan bahawa mereka telah menyuarakan tuntutan agar gencatan
senjata diumumkan. Antara alasannya
adalah untuk mengebumikan mereka yang terkorban dan berharap agar permintaan
tersebut dipenuhi berdasarkan persefahaman sesama agama.
Sudah tentu sekali permintaan sebegini tidak perlu dilayan apatah
lagi dengan alasan sedemikian. Jika
semangat persaudaraan dalam Islam yang diambilkira, insiden menceroboh dan
membunuh saudara seagama dengan kejam di Lahad Datu, tidak seharusnya berlaku
langsung.
Justeru, kita lihat bahawa permintaan pihak pengganas merupakan satu permintaan yang
ganjil dan tidak konsisten dengan tindakan mereka yang begitu nekad dan berani
mati sebelum ini.
Seluruh dunia tahu bahawa kerajaan Malaysia telah memberi mereka
masa yang cukup panjang untuk mereka keluar dari negara ini secara baik. Namun, sikap diplomasi Malaysia telah dibalas
dengan kebiadapan dan keganasan. Malah,
pihak pengganas juga kelihatan begitu nekad untuk memperbesarkan lagi isu ini
dengan menjemput kuasa asing untuk campurtangan dan membantu mereka.
Jelas, pihak Sulu tidak pernah memikirkan akibat dari tindakan
mereka sama ada ke atas nyawa rakyat Sabah yang tidak berdosa, mahupun kepada
umat Islam dari segi perpaduan dan kekuatan ummah, serta imej agama Islam itu
sendiri, yang sudah teruk tercemar dengan sikap umat Islam yang gemar
bersengketa sesama sendiri.
Sesungguhnya inilah yang kerajaan Malaysia cuba elakkan apabila
memilih cara diplomasi dalam menanangi pencerobohan puak Sulu.
Namun, memandangkan puak Sulu langsung tidak menghormati kebaikan
Malaysia, maka kerajaan Malaysia tidak punya alasan yang cukup baik untuk
memenuhi permintaan mereka untuk melancarkan gencatan senjata. Pihak pengganas Sulu nampaknya telah
tersilap menilai kredibiliti pihak pertahanan dan keselamatan Malaysia melalui
sikap diplomasi yang ditunjukkan di peringkat awal.
Pendekatan Malaysia ialah, yang baik dilayan dengan baik, tetapi
pengganas yang telah berikrar akan terus menentang kita hingga ke titisan darah
terakhir, tidak mungkin diberi peluang untuk mencari ‘masa tambahan’ melalui
gencatan senjata.
Oleh itu, pengganas Sulu tiada pilihan, selain dari menyerah diri
sepenuhnya kepada pihak berkuasa Malaysia.
Untuk pengganas Sulu, terimalah hakikat bahawa Sabah bukan negara
anda. Rakyat Sabah tidak mungkin ingin
diperintah oleh pengganas yang sanggup memperjudikan nyawa mereka. Sultan palsu anda juga tidak layak
memerintah, jadi apalah jenis negara yang akan anda dapati di bawah
pemerintahannya?
Jika kini anda meminta sedikit masa untuk menyemadikan rakan yang
tumpas, maka jika anda melengahkan sedikit masa lagi, anda akan dapati tiada
siapa lagi yang tinggal untuk menguburkan sesiapa, di pihak anda.
0 Komen