"Berat hati saya untuk meninggalkan kubur abang untuk balik ke Perak hari ini setelah seminggu berdoa, membaca Yasin dan menyiram air bunga di pusaranya," kata Noraziah Nor, balu Allahyarham ASP Zulkifli Mamat.
Begitulah kata-kata balu beranak dua ini mengenai suami tercinta
yang terkorban dalam insiden pencerobohan kumpulan militan di Lahad Datu,
Sabah, pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, Allahyarham Zulkifli, 30, iaitu anggota polis komando VAT 69, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, terkorban manakala tiga lagi anggota cedera.
Noraziah yang ditemani kakak iparnya, Aishah Mamat, 32, yang
bertugas di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah, ditemui Bernama
selepas menziarahi kubur suaminya di Tanah Perkuburan Gong Bayor di sini
sebelum pulang ke Perak.
Sejak Sabtu lepas, Noraziah, 28, seorang guru pelatih, menziarahi
pusara suaminya setiap pagi dan tinggal di rumah ibu mertuanya Khatijah Ismail
di Kampung Kubang Ikan di sini, kira-kira 1 kilometer dari tanah perkuburan
itu.
Beliau berkata ibu mertuanya akan turut bersama pulang ke rumahnya di Taman Putra Sentosa, Bandar Baru Putra, Ipoh, bersama dua anaknya, Noor Aqma Amiruddin, 5, dan Noor Muhammad Akhil, 1.
Noraziah berkata beliau berkemungkinan tidak meneruskan praktikal
mengajarnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Rambutan, Ipoh kerana akan
bertugas di Kangar, Perlis berdasarkan surat yang dikirimkan kepadanya oleh
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar atas arahan Perdana Menteri.
"Malah Isnin ini saya akan ke Kuala Lumpur pula bagi memenuhi
undangan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor,"
katanya.
Apabila ditanya tentang sumbangan yang bakal diterimanya, Noraziah
yang sedang mengandung anak ketiga, berkata beliau akan memenuhi hasrat arwah
suaminya sebelum meninggal dunia untuk membaiki rumah kediaman ibunya di Kubang
Ikan terlebih dahulu.
"Selepas itu saya akan mengupah haji untuk Abang Zul dan
menderma al-Quran ke Masjidil Haram sebagaimana hasrat beliau sebelum
meninggal," katanya.
Selain itu, semua sumbangan yang diterima akan disimpan untuk
perbelanjaan masa depan anaknya.
0 Komen