Panggilan ‘Bos’ Kepada Isteri Gurauan Akhir Suami

Gurauan Sjn Abd Azis Sarikon yang memanggil isterinya Siti Banddorah Mahali sebagai 'bos' adalah gurauan terakhir antara pasangan itu sebelum anggota polis itu terkorban dalam kejadian serangan hendap di Kampung Simunul, di sini.

"Arwah kata selepas ini saya kena menguruskan keluarga sendiri, sebab itu dia panggil saya bos," kata Siti Banddorah kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 2, Jalan Bunga Raya, di sini selepas solat Zohor. Jenazah tiba di surau Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna kira-kira pukul 9.30 pagi.

Abd Azis, 48, yang telah berkhidmat dalam pasukan polis sejak tahun 1990 meninggalkan isteri Siti Banddorah, 39, dan empat cahaya mata Mohd Faridzulhelmy, 18, Nurul Liyana, 15, Nurul Syazwani, 12, dan Mohammad Aiman Hakimi, 7.

Abd Azis dari Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) adalah seorang daripada enam anggota polis yang terkorban dalam kejadian berbalas tembak malam Sabtu lepas di Kampung Simunul. Kejadian di perkampungan atas air pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan enam anggota kumpulan bersenjata itu terbunuh.

Sementara itu, Kompani Komander B Batalion 14 PGA Semporna ASP Ab Gani Ajirul menyifatkan pemergian anak buahnya itu sebagai satu kehilangan besar bagi pasukan.

Beliau berkata komitmen serta dedikasi arwah dalam menjalankan tugas pasti dirindui rakan seperjuangan yang turut menyifatkan Abd Azis sebagai insan yang berani.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

1 Komen

Post a Comment