Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengatur untuk menambah kekuatan
anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu dan keseluruhan pantai timur Sabah.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata
pihaknya sedang berbincang berkaitan penambahan anggota untuk mempertingkatkan
lagi kawalan keselamatan di kawasan terbabit.
"Kita akan menaikkan jumlah anggota keselamatan kita di sana.
Sebelum ini, Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun
mengumumkan Kawasan Keselamatan Khas (SSA) di Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan
Lahad Datu.
"Jadi kita sedang berbincang mengenai bagaimana kita hendak
menubuhkan kawasan keselamatan khas itu dan bagaimana kita hendak mengambil
pendekatan dalam mewujudkan kawasan keselamatan khas tersebut," katanya
pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek kepada perwira negara Lahad
Datu, Sabah di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan pembentukan Kawasan
Keselamatan Khas (SSA) di Sabah bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan kawasan
pantai timur negeri ini.
Kawasan Keselamatan Khas yang berpusat di Lahad Datu itu akan
menjadi pusat perintah yang menempatkan beberapa kabin sementara agar dapat
berfungsi segera.
Beliau turut berkata moral anggota PDRM yang berada di sana amat
tinggi, dan rata-ratanya berasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian pasukan
keselamatan itu untuk berjuang dan menyelamatkan Sabah.
Pada majlis itu, Khalid menerima cek bernilai RM30,000 daripada
Presiden Gurdwara Pusat Latihan Polis DSP Mender Singh untuk disumbang kepada
waris perwira serta anggota yang cedera berikutan pencerobohan pengganas Sulu
di Lahad Datu dan Semporna.
Dalam ucapannya, beliau berkata sumbangan itu merupakan satu
sokongan moral yang sangat tinggi, bukan sahaja kepada waris yang terkorban,
tetapi menjadi suntikan semangat kepada .
"Mereka (pasukan keselamatan) sedang menyerahkan jiwa raga
dalam mencurah khidmat bakti dan berjuang bagi mendaulatkan negara di Sabah.
"Saya yakin sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia tanpa
batasan agama, bangsa dan budaya tentulah perwira-perwira kita akan lebih
bersemangat dalam meneruskan 'Op Daulat' dalam menghapuskan pengganas yang
menceroboh kedaulatan negara kita," katanya.
Khalid mengakhiri ucapan dengan harapan Sabah kembali aman
sejahtera dan berharap rakyat negeri itu boleh menjalani kehidupan seperti
sedia kala.
Kira-kira 400 orang hadir pada majlis itu, antaranya, kaum Sikh, anggota
Angkatan Tentera Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serta Jabatan Bomba dan
Penyelamat.
Kaum Sikh dari seluruh Gurdwara di Malaysia mengadakan upacara doa
yang bermula semalam hingga 17 Mac ini agar tiada lagi episod
pertumpahan darah melibatkan anggota pasukan keselamatan, dan berharap krisis di
Sabah dapat diselesaikan segera.
Turut hadir Pengerusi Bidang Keberhasilan Negara (NKRA) Polis
Diraja Malaysia Datuk Wira Ayub Yaakob, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad
Salleh, dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah.
0 Komen