Operasi di kawasan Kampung Tanduo dan juga Kampung Tanjung Batu
telah diteruskan sejak petang semalam di mana pada jam 8 malam tadi telah
berlaku kejadian berbalas tembak secara “sporadic” sehingga awal pagi.
Sewaktu kejadian berbalas tembakan yang bermula pada jam 3 pagi,
dua anggota pasukan gerakan am, kedua-duanya berumur 25 tahun telah mendapat
kecederaan. Seorang cedera di paha dan seorang lagi di sebelah kaki kirinya.
Mereka yang cedera ini hanya dapat dikeluarkan dari kawasan operasi pada jam 8
pagi tadi dan terus dihantar ke hospital untuk mendapat rawatan dengan
menggunakan helikopter polis diiringi oleh seorang pegawai perubatan ATM.
Pada jam 9:45 pagi tadi, sewaktu pasukan keselamatan sedang
bergerak menjejaki pengganas di kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis,
tiba-tiba muncul satu kumpulan manusia dari kawasan belukar. Kumpulan ini
terdiri daripada 2 lelaki dan 3 wanita dewasa. Tindakan menangkap mereka telah
segera dijalankan.
Ketika proses “frisking” dilakukan, tiba-tiba kedengaran bunyi
pergerakan dari kawasan belukar yang berhampiran. Secara spontan, pasukan
keselamatan telah melepaskan tembakan ke arah belukar tersebut. Pemeriksaan
telah dilakukan serta merta dan di dapati dua orang telah terkena tembakan.
Seorang berumur dalam lingkungan tiga puluhan tahun telah cedera
di kaki dan seorang lagi budak lelaki dipercayai berumur dalam lingkungan 12
hingga 15 tahun telah meninggal dunia. Selepas dimaklumkan, markas taktikal
telah segera menghantar seorang doktor dan Timbalan Perubatan ATM dengan
menggunakan kenderaan perisai ke kawasan tersebut.
Semua tangkapan, lelaki yang cedera dan mayat tersebut telah
berjaya dibawa keluar.
Kesemua tangkapan ini disiasat di bawah seksyen 130 (c) Kanun
Keseksaan dibaca bersama dengan Security Offences (Special Measures) Act 2012.
Sementara itu di Semporna, pasukan polis terus menjalankan usaha
untuk mengesan dan menangkap pengganas yang terlibat dalam insiden di Kampung
Simunul. Pada jam 6:30 pagi ini pasukan polis telah menjalankan satu serbuan di
Kampung Perigi, Semporna. Dalam serbuan ini seramai 4 lelaki dewasa telah
ditangkap.
Pada jam 8:50 pagi, satu pasukan polis yang lain telah membuat
serbuan di kawasan lapang di Batu 1.5, Jalan Semporna – Tawau, Semporna. Di
sini, dua orang lelaki dewasa telah berjaya ditangkap.
Kesemua enam orang tangkapan ini kini ditahan untuk disoal siasat
di bawah Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Security
Offences (Special Measures) Act 2012. Mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan
kumpulan pengganas.
1:43 AM
salam. laman AIDC kena hack jam 9 malam, 10 Mac. Kerja-kerja pemulihan akan mengambil masa sehari dua sebelum dapat beroperasi seperti biasa.
http://mindaaidc.wordpress.com/2013/03/10/aidc-kena-hack-sebab-dedah-bukti-pertemuan-anwar-misuari/
Editor AIDC