Selepas surirumah di Selayang Baru dan Taman Medan memulakan
tuntutan kerajaan negeri melunaskan elaun khas suri rumah seperti dijanjikan
dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) lalu, hari ini kumpulan suri
rumah di PPR Lembah Subang juga membuat langkah serupa bagi memastikan
janji-janji yang dibuat sebelum ini oleh pihak pakatan pembangkang dilunaskan
dahulu sebelum mereka membuat janji baru.
Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi
Shahadan berkata, kerajaan negeri Selangor jelas telah menipu rakyat kerana
sehingga kini masih gagal menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU)
Ke-12 untuk memberikan elaun khas kepada ibu yang memilih menjadi suri rumah
sepenuh masa.
“Sikap yang ditunjukkan kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) tersebut membuktikan mereka sanggup melakukan apa sahaja demi
mencapai cita-cita politik. Kebanyakan janji tidak dapat dilaksanakan, malah kini
tergamak mengatakan manifesto pilihan raya bukan janji untuk ditunaikan.
Kita nampak kebangkitan ini merupakan satu perkara yang serius dan
pihak GPRS dengan kerjasama peguam, Kamaruddin Ahmad akan membantu surirumah
ini menuntut hak mereka sebagaimana yang termaktub dalam manisfesto pakatan
pembangkang pada PRU12 yang lalu, iaitu memberikan elaun surirumah yang memilih
untuk menjaga anak sepenuh masa,” ujarnya kepada pemberita selepas menyertai
demostrasi aman di sini pagi tadi.
Perhimpunan aman yang bermula kira-kira pukul 9.30 pagi di Padang
Awam Flat PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang turut dihadiri Presiden
Penyatuan Suri-Suri Rumah Negeri Selangor, Datin Reny Rahyu Mohd. Ishak.
Dalam perkembangan lain, Sohaimi melihat kenyataan Tan Sri Khalid
yang mengatakan kejayaan pentadbiran kerajaan negeri pakatan di Selangor
membuktikan bahawa mereka sudah bersedia untuk mentadbir Malaysia merupakan `cakap-cakap
politik’ yang penuh dengan retorik, malah bercakap tanpa asas.
“Kalau nak dengar Tan Sri Khalid cakap, dalam isu air pun dah 18
kali alasan dibuat untuk menyelesaikan masalah dan krisis air di Selangor, tapi
tidak juga selesai.
Buktikan dulu fakta kejayaan kerajaan negeri, biar kita tunjukkan
pula bukti-bukti kegagalan pentadbiran kerajaan negeri pakatan khususnya di
Selangor selama ini.
Kita boleh buktikan betapa banyaknya kelemahan, kegagalan dan
kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri pakatan berbanding di bawah
pentadbiran kerajaan BN di Selangor selama ini,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda
UMNO Bahagian Selayang.
Bagi Presiden Penyatuan Suri-Suri Rumah Negeri Selangor, Datin Reny Rahyu Mohd. Ishak, manifesto yang tidak ditunaikan membuatkan wanita berasa sakit hati kerana tertipu.
“Kerajaan negeri tabur macam-macam janji pada wanita untuk rebut
kuasa. Janji hendak bagi elaun pada suri rumah tangga, ibu tunggal dan warga
emas tapi satu sen pun tak beri.
“Kita beri peringatan
supaya berhenti buat janji kerana rakyat kini semakin bijak menilai
untuk memilih kerajaan akan datang," katanya.
0 Komen