Seorang lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap
sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah
semalam, menjadikan jumlah terkini anggota polis yang terkorban dalam insiden
tersebut kepada enam orang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata enam anggota
kumpulan bersenjata itu juga terbunuh dalam kejadian pukul 8 malam di
perkampungan atas air itu.
Dalam operasi 'menyelamat' yang dilancarkan hari ini dan berakhir
kira-kira 7 malam, Ismail berkata polis turut berjaya mengeluarkan 19 anggota polis
dengan selamat dari Kampung Sri Jaya Simunul itu.
Dalam sidang media kira-kira 9 malam ini di Felda Sahabat, Kampung
Tanduo di sini, Ismail berkata enam mayat anggota polis yang terkorban itu d hantar
ke Hospital Semporna.
"Identiti mangsa akan dimaklumkan kepada anggota keluarga
terlebih dahulu sebelum dipaparkan di laman web rasmi PDRM," katanya.
Dalam sidang media terdahulu hari ini, Ismail mengumumkan lima
anggota polis terkorban dalam insiden itu manakala dua anggota kumpulan itu
terbunuh.
Dalam sidang media sebelum ini, beliau berkata kelima-lima anggota
polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan
siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai
sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu.
Ismail juga memberitahu sidang media terdahulu itu bahawa anggota
polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan
mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.
Dalam sidang media malam ini, Ismail menafikan terdapat insiden
anggota polis yang didakwa menjadi tebusan kumpulan bersenjata itu dipenggal
kepalanya.
"Itu hanya khabar angin dan saya minta orang ramai supaya
tidak mempercayai sebarang khabar angin," katanya.
Beliau memaklumkan keadaan di kampung berkenaan kini kembali
seperti biasa.
0 Komen