Bantuan tambahan nelayan terjejas di Sabah - Noh



KERAJAAN akan menyalurkan bantuan tambahan RM500 (one off) untuk elaun sara hidup nelayan yang terjejas mata pencarian berikutan insiden pencerobohan pengganas di timur Sabah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, bantuan itu bagi membantu meringankan beban nelayan yang tidak dapat turun ke laut susulan insiden itu, khususnya di daerah ini, Semporna dan Kunak.

Untuk tujuan itu, beliau berkata, Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menjalankan kajian secara adil dan terperinci bagi mengenal pasti nelayan berkenaan.

“Selepas mendapat pengesahan daripada setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan pemimpin tempatan, kita akan beri bantuan tambahan RM500 (one off) kepada setiap nelayan yang benar-benar terjejas akibat pencerobohan itu dengan kadar segera,” kata Noh.

Noh bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian elaun sara hidup RM200 kepada 152 nelayan serta sumbangan bantuan kepada peladang, petani dan nelayan di sini.

Turut hadir Ahli Parlimen Silam, Dr Salleh Kalbi dan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sabah, Jaini Ating.Menurut Noh, bagi petani yang pendapatan mereka terjejas dan tanaman musnah disebabkan insiden sama, mereka juga akan dibantu menerusi peruntukan berjumlah RM100,000 yang disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan Lahad Datu dan Kunak untuk diagihkan kepada ahli-ahli mereka.

Pada majlis itu, Noh menyaksikan penyampaian cek bernilai RM109,000 sumbangan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NE KMAT) oleh pengerusinya, Mohamad Dolmat kepada Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PEN GASAH) untuk diagih kepada tiga PNK iaitu Kunak, Semporna dan Lahad Datu.

Persatuan Nelayan Kebangsaan turut mengumpulkan sumbangan RM66,000 daripada anggotanya di seluruh negara untuk Tabung Perwira Lahad Datu.

Sebelum ini dilaporkan, kejadian pencerobohan pengganas Sulu itu turut menyebabkan pendapatan nelayan khususnya, nelayan laut dalam, terjejas sedikit kerana tidak dibenar memasuki perairan Tungku yang merupakan kawasan Operasi Daulat.

Seorang nelayan, Mohammad Emmu, 54, berkata, perasaan khuatir terhadap keselamatan masyarakat nelayan sejak pencerobohan pengganas Sulu itu, bersyukur kerana pasukan keselamatan dapat mengawal keadaan.

“Selepas 10 hari (pertempuran di Kampung Tanduo), nelayan mula ke laut untuk menangkap ikan walaupun di sekitar kuala ini sahaja,” kata bekas nelayan itu.

Pengerusi PNK Lahad Datu, Jaafar Alam pula berkata, golongan nelayan di Lahad Datu kini selesa menjalankan aktiviti mereka di bawah pengawasan polis Marin.

Kedudukan Pangkalan Polis Marin Wilayah 4, di pintu kuala Lahad Datu, kira-kira lima kilometer dari pekan itu membolehkan polis marin memantau sebarang ancaman dari lautan terbuka.

Jaafar berkata, insiden pencerobohan pengganas Sulu sejak lebih sebulan lepas itu mengimbau tragedi rompakan sekumpulan lanun pada 1985 yang memasuki pekan Lahad Datu.

Jaafar berkata, terdapat kira-kira 25 kapal nelayan berdaftar di bawah PNK Lahad Datu dan berlabuh di jeti Ko-Nelayan.
Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment