Barisan Nasional (BN) berjanji untuk membawa
sistem pendidikan negara ke taraf antara terbaik di dunia dengan memperbaiki
kualiti sekolah kebangsaan.
Manifesto BN bertemakan 'Rakyat Didahulukan' yang dilancarkan Pengerusi
BN Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini, berjanji membawa Malaysia ke
"tahap kategori tiga teratas" dalam sistem pendidikan terbaik dunia.
Selain itu BN turut menggariskan usahanya dalam membina
kecemerlangan
pendidikan negara termasuk berjanji untuk memperkasakan Bahasa
Inggeris dengan menjadikannya mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta memperbaiki penguasaan bahasa itu dan
Bahasa Malaysia dari tahap prasekolah.
Perhatian juga terus akan diberikan untuk meningkatkan prestasi
mata pelajaran Sains dan Matematik, selain membentuk kemahiran berfikir yang
tinggi di kalangan pelajar, serta mengembangkan persekolahan satu sesi, dan
menyediakan makmal ICT di sekolah-sekolah yang memerlukan.
BN juga berjanji menyediakan lebih banyak sekolah, meliputi semua
jenis sekolah, di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi, dan menyediakan
insentif kewangan sebanyak RM100,000 setahun kepada sekolah yang menawarkan
kelas pendidikan khas.
BN juga berjanji untuk menyediakan lebih banyak biasiswa
berdasarkan merit dengan peruntukan khas kepada komuniti yang kurang bernasib
baik.
Mengenai komuniti kecil dan kawasan luar bandar terutama di Sabah
dan Sarawak, BN berjanji memperbaiki akses untuk pendidikan berkualiti di
kawasan tersebut, dan memperluaskan pendidikan prasekolah meliputi semua jenis sekolah.
Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT), BN berjanji untuk memperkenalkan sistem pembelajaran dan pengajaran yang mudah bagi Bahasa Malaysia di kedua-dua sekolah tersebut.
BN juga akan menukar status SJKT kepada sekolah bantuan penuh
kerajaan jika sekolah berkenaan berhasrat berbuat demikian, menurut Manifesto
BN.
Selain itu, BN juga berjanji untuk meneruskan peruntukan khas
kepada semua jenis sekolah termasuk SKJC, SJKT, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan,
Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Berasrama Penuh dan sekolah mubaligh.
Bagi guru pula, BN berjanji menyediakan laluan kerjaya baharu
kepada 420,000 guru dengan membolehkan mereka dinaikkan pangkat segera
berdasarkan prestasi masing-masing.
Juga akan merombak institut-institut perguruan dan menaikkan
syarat pengambilan guru pelatih.
BN juga berjanji mentransformasikan sekolah vokasional menjadi
kolej dan menambah pelajar sebanyak 20 peratus, serta menyediakan jalur lebar
WiFi secara percuma dan terjamin di semua kampus institusi pengajian tinggi
awam (IPTA).
Selain itu, juga akan memperkenalkan skim pemilikan laptop di sekolah-sekolah
berasrama dengan kemudahan internet.
0 Komen