Gandingan Muka Baharu Dan Lama Langkah Baik Pastikan Kemenangan BN - Mukhriz



Gandingan calon muka baharu bersama calon lama Barisan Nasional (BN) merupakan langkah terbaik untuk meneruskan transformasi parti bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengerusi BN Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata calon muka baharu yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda itu dilihat lebih mempunyai cetusan idea baharu yang boleh digunapakai bersama pengalaman orang lama untuk gerak kerja bagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat yang berbangkit.

"Tidak semua tetapi perlu ada yang benar-benar mewakili golongan muda, sudah tentu pengalaman politik tidak berapa banyak tetapi dari segi cetusan idea yang mungkin boleh mereka bawa untuk tindakan.

"Ini dilihat sebagai gandingan yang baik dengan orang lama yang mempunyai
pengalaman mentadbir yang benar-benar memahami kehendak rakyat bagi mencari pelbagai kaedah untuk menyelesaikan masalah berbangkit seperti perumahan, peluang pekerjaan, perniagaan, masuk ke IPT," katanya ketika ditemu bual dalam program Soal Jawab kelolaan TV3 malam ini.

Mukhriz yang juga bekas anggota Parlimen Jerlun, Kedah itu berkata calon yang terpilih wajar mengambil kira pandangan golongan muda yang mampu memberi pencetus semangat dalam usaha memajukan sesebuah negeri sekiranya menang pada pilihan raya nanti.

"Macam di Kedah sendiri ada 43 peratus pengundi muda, iaitu kumpulan berpengaruh yang mana bekerja di luar Kedah dan bawa balik pelbagai sentimen, persepsi mengenai isu kebangsaan dan mahu lihat perubahan.

"Jadi saya sentiasa mendekati mereka, mendengar apa pandangan mereka mengenai pelbagai isu, apa yang mereka idamkan bagi Kedah Darul Aman, untuk selesaikan masalah, saya tunjukkan kesungguhan BN untuk lakukan yang terbaik, ini semua kita muatkan dalam manifesto 'Aku Janji' BN Kedah," katanya.

Mengulas mengenai manifesto tambahan BN Kedah yang dijangka akan diumumkan esok Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ia lebih fokus kepada bidang hal ehwal agama, ekonomi dan sosial.

"Bagi Kedah kita lihat penting soal hal ehwal agama iaitu maahad tahfiz kita bela, lihat ekonomi maju macam dapat pelbagai kemudahan dapat menarik banyak projek kita boleh laksana, perubahan sosial kita boleh lonjak ke tahap yang boleh membanggakan," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz mengharapkan BN dapat menguasai kembali Kedah kerana kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat sangat penting untuk membangunkan sesebuah negeri terutamanya dalam bidang ekonomi yang boleh membuka peluang pekerjaan.
Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment