Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional
(BN) perlu menguasai semula Selangor bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat
negeri ini, malah kepada seluruh rakyat Malaysia.
Perdana Menteri berkata ini kerana Selangor yang terletak di
Lembah Klang menyumbang peratusan yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) Negara sekali gus boleh memacu negara menjadi sebuah negara maju pada
masa depan.
Beliau berkata jika BN tidak dapat menguasai Selangor, kerajaan
Pusat sukar untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi tinggi yang diperlukan Malaysia
bagi mencapai status negara maju.
"Masalah bekalan air di Selangor (misalnya) satu perkara yang
serius kerana ia boleh merosakkan pertumbuhan ekonomi Selangor dan Kuala Lumpur
yang terletak di Lembah Klang yang strategik.
"60 peratus GDP (Keluaran Dalam Negara Kasar) dari Lembah
Klang, jadi potensi menjadi negara maju bergantung kepada Selangor sebab
peratus GDP di Selangor begitu besar," katanya ketika merasmikan Aku Janji
BN Selangor di sini, malam ini.
Sehubungan itu, Najib mengajak pengundi di Selangor untuk memilih
BN pada pilihan raya umum 5 Mei ini bagi memastikan masa depan yang lebih
baik kepada mereka.
Beliau berkata rakyat perlu menilai kegagalan kerajaan pakatan
pembangkang menunaikan janji mereka selama lima tahun mentadbir Selangor
berbanding kejayaan Kerajaan Pusat memenuhi serta menepati keperluan rakyat
menerusi pelbagai dasar dan inisiatif.
"Saya yakin dan percaya kalau persoalan yang dibangkitkan
dalam minda setiap pengundi di Selangor, kalau boleh lihat kegagalan mereka
(kerajaan pakatan pembangkang) memenuhi janji selama lima tahun jika
dibandingkan dengan kejayaan kita menepati janji di Pusat.
"Saya beri jaminan pencapaian yang sama (dalam menepati janji
kepada rakyat) akan kita saksikan di Selangor di bawah pemerintahan BN,"
katanya.
Najib turut mempersoal banyak janji kerajaan pakatan pembangkang
yang masih tidak ditunaikan seperti elaun khas bulanan kepada ibu tunggal,
pengurangan cukai pintu 20 peratus serta elaun RM75 sebulan kepada anak-anak
yang dihantar ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak.
Najib percaya calon-calon BN yang dipilih untuk bertanding di 22
kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor mampu
membawa perubahan serta dapat menunaikan segala aku janji kepada rakyat negeri
ini.
"Dengan penuh rendah diri, saya bagi pihak BN Selangor ingin
nyatakan kepada rakyat Selangor, inilah pasukan yang menjadi harapan saya untuk
membawa transformasi kepada Selangor... pasukan yang memenuhi harapan rakyat,
membawa perubahan dan menentukan Selangor akan maju dengan lebih hebat di bawah
BN," katanya.
Perdana Menteri berkata sebagai Pengerusi BN dan ketua kerajaan,
beliau akan memastikan setiap aku janji parti itu akan ditepati jika BN
memerintah kembali Selangor.
"Walaupun saya tidak jadi Menteri Besar Selangor kerana saya
akan bertanding di Pekan (Pahang), sebagai Perdana Menteri saya akan meneliti
dengan begitu serius, mengawasi serta memantau agar semua Aku janji ditepati
oleh barisan wakil rakyat (BN)," katanya.
Pada masa sama, Najib berharap pengundi Selangor bijak memilih
kerajaan yang mampu menunaikan janji dan tidak tertipu sekali lagi dengan
janji-janji pakatan pembangkang dalam tempoh lima tahun lepas.
Perdana Menteri berkata rakyat Selangor sudah serik dengan
janji-janji kosong kerajaan pakatan pembangkang yang disifatkannya sebagai
'orang munafik' kerana memungkiri janji.
Najib turut mengumumkan, antara perkara utama dalam Aku janji BN
Selangor iaitu sambungan pajakan tanah secara automatik akan dipertimbangkan
dan menubuhkan Pusat Khidmat Rakyat Selangor (PAKAR) di 14 pihak berkuasa
tempatan (PBT).
PAKAR adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat dan memperkasakan system
maklum balas kerajaan dan memudahkan pelaksanaan manifesto BN Selangor.
"Manifesto (Aku janji) dianggap sebagai janji... kalau kita
anggap sebagai janji, manifesto bukanlah satu dokumen yang boleh dipermainkan
atau dipermudahkan oleh sesiapa.
"Kalau manifesto itu bukan janji, saya nak tanya? Apa gunanya
bentang manifesto kepada rakyat? Rekod BN tunaikan janji tidak boleh
dipertikaikan lagi, malah penganalisis politik dan ekonomi mengakui kerajaan BN
telah membawa perubahan besar berdasarkan kepada program transformasi nasional.
"Ekonomi negara berkembang dengan lebih pesat dan kita
menambahkan lagi
keyakinan kepada rakyat bahawa kekayaan negara meningkat dengan
kadar yang dikagumi dunia," katanya.
Aku janji BN Selangor adalah berdasarkan tujuh teras dan 56 janji
dengan tema 'Keamanan, Kestabilan dan Kemakmuran'.
Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana
Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh
Omar dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin
Mohamed.
0 Komen