Dato’ Mukhriz Mahathir adalah sebuah nama yang begitu sinonim
dengan rakyat Kedah, terutama di pelusuk-pelusuk kampung. Bagaimanapun, nama bapanya, nampaknya telah
berlaku tidak adil kepadanya kerana walau sekuat manapun beliau bekerja, beliau
tetap dituduh sebagai menumpang nama bapa.
Walaupun beliau merangkak dan menapak dari bawah, beliau tetap dituduh
naik lif terus ke atas.
Ini berlaku bukan sahaja dalam politik, tetapi dalam apa jua yang
dilakukannya, seperti berniaga.
Tidak adil juga jika kita berkata bahawa nama bapanya tidak
memainkan peranan langsung, tetapi itulah lumrah dunia di mana ‘nama’ memain
peranan penting untuk menarik minat dan kepercayaan orang ramai, terutamanya
dalam bidang perniagaan. Namun, itu
tidak bermakna beliau menyalahgunakan pengaruh itu, kerana terbukti beliau
seorang yang arif tentang selok-belok berniaga dan bukannya berjaya tanpa
berusaha. Beliau juga pernah jatuh,
bangun dan berhadapan dengan risiko, gagal serta bangun kembali.
Oleh kerana pengalaman yang luas dan ‘berpeluang’ menghadapi
sendiri apa yang dikatakan persaingan di alam perniagaan sehingga dikategorikan
sebagai antara tokoh yang paling berjaya, maka Dato’ Mukhriz pastinya cukup
memahami jerih perih rakyat biasa.
Benarlah kata orang bijaksana, iaitu “ahli politik yang paling
berkesan ialah ahli politik yang telah pun berjaya dalam bidang lain”.
Walaupun Dato’ Mukhriz telah mengukir namanya sendiri dalam
persada negara, namun beliau tidak pernah mengabaikan kawasannya. Bukan sekali dua beliau bermalam di
kampung-kampung rumah pemimpin cawangan malah berkali-kali. Beliau juga tidak kekok turun ke hutan dan
meranduk selut untuk menghayati kehidupan orang kampung sekali gus memahami
masalah mereka dan menyelesaikannya. Ini
melenyapkan terus tuduhan bahawa beliau membawa imej ‘elit’ dan tidak sesuai
dengan ‘keperibadian’ negeri Kedah.
Apa yang menarik ialah, segala kerja kuatnya ini jarang sekali
dilaporkan atau diketahui oleh sesiapa melainkan orang-orang kampung jua. Oleh yang demikian, walaupun terdapat
cakap-cakap negatif mengenai beliau di peringkat kepimpinan bawahan di Kedah,
rakyat Kedah sendiri secara amnya, menadah tangan bersyukur dengan pencalonan
Dato’ Mukhriz di DUN dan bukan Parlimen.
Pendek kata, berita tersebut diterima rakyat Kedah sebagai doa
yang telah dimakbulkan. Ia juga turut
membuktikan bahawa Dato’ Seri Najib benar-benar mendengar suara rakyat walaupun
terdapat usaha yang cukup giat dari beberapa pihak untuk menyekatnya.
Namun, satu perkara yang membuatkan rakyat Kedah agak ‘cuak’ ialah
kawasan yang bakal ditandingi Dato’ Mukhriz dikatakan sebagai sebuah kubu PAS,
iaitu DUN Ayer Hitam.
Pada tahun 2008, Dato’ Mukhriz telah memenangi kerusi Jerlun
dengan majoriti 2,205 manakala DUN Ayer Hitam yang berada di dalam Parlimen
Jerlun dimenangi oleh Abdul Ghani Ahmad dari PAS dengan majoriti tipis iaitu
506 undi. Dalam PRU 2004, DUN Ayer Hitam
telah dimenangi oleh Othman Aziz dari BN dengan majoriti 860 undi. Jumlah pengundi DUN ini dalam PRU tersebut
ialah 24,939.
Justeru, untuk menyatakan kawasan ini sebagai kubu kuat PAS
mungkin masih boleh diperdebatkan.
Pastinya ada sebab musabab tertentu yang menyebabkan rakyat di DUN Ayer
Hitam menukar pilihan mereka dari BN pada 2004 kepada PAS pada 2008.
Berdasarkan fakta di atas, maka tidak mustahil rakyat DUN Ayer
Hitam akan menukar kembali ke BN pada tahun 2013 ini, atas faktor Dato’
Mukhriz.
Secara umumnya, harapan rakyat Kedah terhadap Dato’ Mukhriz
amatlah tinggi dan sekiranya rakyat di DUN Ayer Hitam tidak membuat pilihan
yang tepat, maka mereka pasti dianggap sebagai menghancurkan hati keseluruhan
rakyat negeri itu.
Kedah memerlukan suntikan semangat baru untuk keluar dari
kepompong ‘selesa’ serta bangun memajukan diri selaras dengan pengiktirafan
ibunegerinya, Alor Setar sebagai sebuah bandaraya lama dahulu. Selama ini, ‘Bandaraya’ Alor Setar adalah
bandar yang ‘mati’, tiada aktiviti.
Semenjak diambil-alih oleh PAS pula, yang hidup hanyalah pusat-pusat
karaoke sahaja, sementara peluang pekerjaan lain masih tiada.
Kedah dikatakan hanya selangkah sahaja ke hadapan dari Kelantan
dari segi mentaliti dan sosial. Dari
segi ekonomi juga, Kedah baru saja menjunam ke bawah akibat ketidakcekapan
kerajaan PAS.
Dalam pada itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa cabaran
untuk membangunkan Kedah dari segi ekonomi harus bermula dengan memajukan
mentaliti rakyatnya terlebih dahulu.
Hari ini, pusat-pusat pelancongan yang berpotensi di Kedah masih
tidak mampu menepati namanya sendiri sebagai ‘pusat pelancongan bertaraf
antarabangsa’. Antaranya, Arus Deras
Sedim, Pantai Merdeka, Kuala Kedah dan berbagai-bagai lagi. Hotel-hotel dan resort yang ada di Kedah
juga dikatakan masih belum mampu menyaingi taraf profesionalisme hotel-hotel di
kawasan pelancongan negeri lain seperti Melaka, Kuantan dan sebagainya. Semua ini berkait rapat dengan
‘mentaliti’.
Satu-satunya kawasan yang tampak ‘bertenaga’ di Kedah ialah
Langkawi.
Dari segi pelaburan pula, Kedah turut menjunam selepas diambil
alih oleh PAS. Menteri Besar Kedah yang
ada kini, langsung tidak pernah membuat pertemuan dengan para pelabur sedia ada
mahupun terlibat dalam misi-misi pelaburan negeri.
Oleh itu, dengan ketokohan Dato’ Mukhriz sebagai usahawan berjaya,
kita pasti ‘menjana ekonomi’ bukanlah cabaran besar baginya, tetapi ia mungkin
menjadi sukar sedikit kerana perlu terlebih dahulu menangani cabaran
‘mentaliti’ orang-orang sekelilingnya dan rakyat Kedah sendiri.
Kedah amat memerlukan Dato’ Mukhriz untuk memulihkan kembali
segala kemusnahan dan kerosakan yang dilakukan oleh PAS. Sesungguhnya, kemusnahan dan kerosakan yang
dilakukan oleh parti itu selama sepenggal, bukanlah sedikit.
Dan jika PAS masih terus kekal memerintah di Kedah selepas PRU
ini, maka Kedah pasti akan kembali ke 20 tahun ke belakang, sehingga memerlukan
berpuluh tahun lagi untuk pulih sepertimana di bawah BN sebelum ini.
Hari ini, rakyat Kedah seolah-olah meletakkan semua harapan terhadap
Dato’ Mukhriz ke atas bahu pengundi di DUN Ayer Hitam. Harapan yang sama juga diletakkan ke atas
bahu pemimpin-pemimpin BN, jentera parti, termasuk mereka yang tidak tersenarai
sebagai calon, untuk membantu ‘meletakkan yang hak ditempatnya’ demi kebaikan
semua.
12:24 AM
Semoga Allah SWT memberkati perjuangan Dato’ Mukhriz dan memberi kejayaan kepadanya.
3:47 PM
Beruntung lah mereka di Dun Ayer Hitam kerana bakal mendapat Dato Mukhriz sebagai wakil suara mereka.Sokong lah Dato Mukhriz kerana beliau seorang yang mudah di dekati,rajin dan amanah.Yang utama beliau seorang yang takut kepada Allah subhanawata'ala.