Manifesto BN Tepat Pada Masanya



Manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan malam ini, tepat pada masanya dan menidakkan manifesto parti pembangkang.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata manifesto pembangkang adalah satu khayalan yang boleh menyebabkan kerugian kepada negara, jika dilaksana.

"Parti lawan tidak tahu apapun tentang kedudukan kewangan negara, sebab tu buat manifesto yang agak bodoh," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan Janji 1Malaysia Rakyat Didahulukan sempena pelancaran manifesto BN 2013 di Stadium Putra Bukit Jalil.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pula berkata Aku Janji BN itu menepati aspirasi semua lapisan masyarakat di negara ini, terutama mereka yang berpendapatan rendah, menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau berkata harapan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri juga akan menjadi realiti melalui pembinaan 1 juta rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun.

Manifesto yang selari dengan slogan 'Menepati Janji Membawa Harapan' itu juga menjanjikan kesaksamaan kepada semua kaum, katanya.

Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata manifesto BN tidak meminggirkan kaum India dalam menikmati arus pembangunan negara.

"Janji BN untuk meneruskan peruntukan khas dan memperkenal sistem pembelajaran serta pengajaran mudah Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil juga membuktikan kerajaan serius untuk menghasilkan pelajar cemerlang di Sekolah Tamil," katanya.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pula berkata wanita
Malaysia diminta terus memberi mandat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana di bawah pentadbiran beliau, kedudukan dan peranan golongan itu dalam pembangunan negara diberi tempat yang penting.

"Apa yang kita nak adalah kestabilan negara, perpaduan antara kaum, kemajuan ekonomi dan juga peluang baharu untuk tujuan memperkasakan wanita hari ini," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut bersetuju bahawa manifesto yang dibacakan Najib malam ini sebenarya merupakan satu Aku Janji yang dapat memenuhi kehendak kumpulan sasar.

"Sekarang ini 60 peratus pengundi terdiri daripada pengundi yang tinggal dalam bandar, langkah BN untuk mewujudkan satu kementerian baharu yang khusus untuk kesejahteraan penduduk di bandar ini merupakan satu langkah yang tepat," katanya.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata manifesto itu tidak akan menyebabkan negara mengalami krisis kewangan kerana mengambil kira kemampuan kewangan negara.

"Ini tidak bersifat retorik kerana ia mempunyai perincian yang cukup meyakinkan, dan kami yakin dapat melaksanakannya jika diberi kepercayaan rakyat untuk memimpin lima tahun lagi," katanya.

Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koo pula menyifatkan Aku Janji yang dibentang Presiden BN itu adalah janji yang tetap akan ditepati demi kebaikan
rakyat.

"Saya berharap dengan manifesto itu dapat meraih lebih banyak kepercayaan rakyat kepada BN, dan seterusnya dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat sekiranya BN menang dalam pilihan raya umum ke-13," katanya.
Tags: , , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment