Timbalan Musyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dalam satu temu
bualnya dengan media secara terbuka mengakui PAS akan tetap melaksanakan hudud
sekiranya pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS menang
PRU-13.
Menurut Haron Din, kesediaan DAP untuk menggunakan logo PAS
sekiranya keadaan memerlukan merupakan bukti kukuh bahawa DAP menerima dasar
PAS terutama sekali dalam perlaksanaan hukum hudud
Entah bagaimana ia akan dilakukan payah nak difikirkan
memandangkan dengan sejumlah 73 kerusi Parlimen yang ditandingi PAS dan hanya
12 sahaja yang putih, sukar sekali untuk PAS mengubah Perlembagaan Negara
seterusnya merintis perlaksanaan hudud.
Begitu pun, kenyataan pemimpin PAS itu bagaimana pun agak
bertentangan dengan DAP yang mana pada 20 April 2013 lepas, Karpal Singh
menyatakan penggunaan logo PAS oleh calon DAP bukanlah bermakna dasar PAS telah
diterima tanpa halangan.
Sebaliknya ia hanya menunjukkan betapa mudahnya PAS diperalatkan
untuk kepentingan DAP, sama seperti mudahnya PAS tunduk pada kehendak DAP dalam
isu kalimah Allah S.W.T yang sehingga kini PR tetap dengan pendirian kalimah
suci itu boleh diguna pakai dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.
DAP tetap dengan pendirian menolak hudud PAS dan menentang Negara
Islam, sebaliknya kerjasama yang dijalin antara DAP dan PAS melalui PR hanyalah
untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
Tiada yang menghairankan dengan kenyataan Pengerusi DAP itu kerana
sebelum ini pun DAP sering mempertahankan pendiriannya berhubung perkara ini.
Malah pada 30 Julai 2012, Setiausaha Agung DAP iaitu Lim Guan Eng juga
mengeluarkan kenyataan yang sama nadanya.
Dari satu sudut, jika dilihat pada kenyataan tegas Dr Haron Din,
ia seperti memberi bayangan keinginan tersirat PAS untuk mengetepikan peranan
DAP seandainya PRU-13 kelak PR berjaya menguasai di peringkat Pusat.
Malah ada kemungkinan juga wujud niat tersirat yang lain di mana
PAS akan menerajang keluar DAP dari PR seandainya perjuangan melaksanakan hudud
PAS terus dihalang oleh DAP, senario ini nampak mustahil tapi logik.
Andai benar sedemikian, kita boleh jangkakan PR tidak akan kekal
lama sebaliknya haru-biru dan kecelaruan pula yang menimpa negara disebabkan
pertelingkahan sesama sendiri dalam pakatan yang tak sepakat.
Yang pastinya, percanggahan ketara di antara PAS dan DAP hari ini
hakikatnya membuktikan ketidaksepakatan PR, ia mungkin dianggap kecil tapi bagi
khalayak bagaimana mungkin sebuah pakatan yang tidur sebantal mimpi lain-lain
mampu membawa perubahan yang di war-warkan.
0 Komen