Pengundi Di Gelang Patah Perlu Bijak Pilih Kerajaan Yang Bawa Kemajuan- Muhyiddin


Pengundi di Gelang Patah perlu bijak menilai dan membuat pilihan tepat dengan memilih Barisan Nasional (BN) kerana kerajaan BN yang telah membangunkan kawasan itu sehingga menjadi paksi pertumbuhan ekonomi di selatan tanah air.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengundi perlu melihat bagaimanakah kerajaan BN telah membangunkan satu kawasan yang tidak mempunyai apa-apa pembangunan, menjadi satu tempat pertumbuhan ekonomi yang paling pesat di negara ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai strategi DAP yang dikatakan mahu membunuh MCA di Johor dengan meletakkan Penasihatnya Lim Kit Siang sebagai calon di Gelang Patah.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerusi Parlimen Gelang Patah perlu dipertahankan kerana ia menempatkan pusat pentadbiran kerajaan negeri Johor iaitu Nusajaya.

"Daripada sebuah kawasan yang tidak mempunyai sebarang pembangunan, hari ini Nusajaya dibangun dan dimajukan oleh kerajaan BN negeri dan pusat sebagai salah satu kawasan pembangunan penting untuk Malaysia dengan pelbagai kemudahan infrastruktur dan pendidikan," katanya.

Muhyiddin berkata demikian pemberita selepas mengadakan tinjauan turun padang ke kawasan Lembah Pantai dan bersarapan pagi di Gerai Singgah Santai, Kondo Rakyat Desa Pantai di sini.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan Lim itu sebagai seorang ahli politik 'payung terjun', di mana Lim tidak mempunyai apa-apa 'attachment' dan tidak dikenali oleh orang di Gelang Patah.

"Kit Siang lebih mementingkan diri. Dia fikir dia ikon pemimpin Cina. Pernah dia (Lim) sebut bahawa dia hendak berjuang untuk orang Cina, sedangkan kawasan Gelang Patah adalah didiami pelbagai kaum.

"Yang penting bukan calon yang diletakkan untuk melawan Kit Siang sahaja, pengundi dapat menilai bagaimana BN telah menempuhi segala cabaran dan bantahan untuk membangunkan Gelang Patah, sehingga pelaburan dan kemajuan ekonomi meningkat," katanya.

Sejak pilihan raya umum 1969, tokoh DAP itu yang kini penyandang kerusi Parlimen Ipoh Timur, pernah bertanding di beberapa kawasan Parlimen antaranya Bandar Melaka, Petaling, Kota Melaka, Tanjong dan Bukit Bendera.

Ditanya mengenai keputusan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal bertanding di Permatang Pauh, Muhyiddin berkata:

"Apabila Perdana Menteri berkata Anwar takut bertanding di Permatang Pauh, dia (Anwar) ingin menunjukkan dia tidak takut. Dia balik semula, tetapi saya fikir hati dia gementar, sebab dia tahu BN meletakkan calon-calon hebat.

"Jadi, dia dah berkira-kira, kalau dia duduk lama di Permatang Pauh, dia tidak boleh tahan, tetapi bila PM cabar dia, dia malu, dan balik semula ke Permatang Pauh," katanya.

Katanya, keputusan Anwar tidak sebegitu penting untuk pengundi di Permatang Pauh kerana mereka sudah kenal Anwar Ibrahim yang tidak mementingkan pembangunan dan kemajuan kawasan itu.

"Sesiapa yang tidak pernah pergi ke Permatang Pauh, boleh pergi lihat apa yang Datuk Seri Anwar sebagai wakil rakyat telah buat di sana. Saya percaya waktu ini, pengundi di Permatang Pauh boleh bijak menilai, siapa sebenarnya Anwar Ibrahim," jelas beliau.

Tags: ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment