Barisan Nasional (BN) berjanji untuk menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia
(BR1M) kepada RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang bagi menangani kos
sara hidup, jika parti komponen itu terus diberi mandat memerintah.
BN dalam manifestonya yang bertajuk 'Rakyat Didahulukan' yang dilancarkan
Pengerusinya Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini, turut berjanji untuk
mempertingkatkan bantuan Baucer Buku 1Malaysia kepada RM300 daripada RM250 pada
masa ini, dan juga Bantuan Persekolahan daripada RM100 kepada RM150.
BN juga berjanji untuk menyediakan lebih banyak Pusat Jagaan
Harian 1Malaysia untuk ibu bapa bekerja, dan membuka Klinik 1Malaysia di dalam
kawasan komuniti padat penduduk.
Dalam usaha membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup, BN
juga berjanji untuk membuka lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia dengan
memperkenalkan lebih banyak produk 1Malaysia yang digerakkan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) dan sektor swasta, yang akan turut dipasarkan di stesen minyak
dan pasar raya besar.
BN juga akan melaksanakan dasar 1Negara 1Harga bagi barangan
keperluan asas.
BN juga berjanji untuk menyemak semula Dasar Automotif Nasional
bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga
30 peratus, serta meningkatkan daya saing kereta nasional.
Selain itu, yuran jalur lebar akan diturunkan sekurang-kurangnya
20 peratus dengan jaminan bandwidth internet.
0 Komen