Ramai Calon Bertanding PRU13, Bukti Demokrasi Subur Di Malaysia - P.Kamalanathan



Calon Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan menyifatkan kesemua 15 pencalonan yang diterima dalam kerusi Parlimen Hulu Selangor dan tiga Dun pada Pilihan Raya Umum ke 13 ini membuktikan bahawa proses demokrasi hakikatnya sangat subur dalam negara kita.

Beliau yang juga salah seorang ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) berkata, beliau gembira melihat suasana itu sambil menyifatkan perkembangan ini bukti ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ini menunjukkan pembangkang yang bertanding percaya pada demokrasi Malaysia dan mereka juga percaya bahawa mereka diberi peluang dalam arus demokrasi itu. Malah, mereka percaya SPR telus. Jadi, semua tuduhan sebelum ini yang mereka katakan SPR tidak telus dan tidak betul adalah palsu.

Sekiranya pembangkang masih menuduh SPR tidak telus maka persaingan yang dilihat pada PRU13 dalam kawasan ini tidak akan berlaku. Saya rasa gembira sangat kerana ini menunjukkan demokrasi di Malaysia hidup segar,” ujarnya yang juga merupakan penyandang kerusi Parlimen Kulu Selangor.

Dalam PRU13 ini, Kamalanathan menerima tentangan daripada wakil PKR, Khalid Jaafar, selain dua calon Bebas, Datuk Seri Edmund Santhara Ramanaidu dan Radzali Mokhtar, yang juga merupakan bekas aktivis PKR sebelum ini.

Ketika ditanya peluang beliau untuk mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen yang disandangnya sebelum ini, Kamalanathan berkata, segalanya disandarkan kepada penilaian rakyat sepanjang tiga tahun berkhidmat di sini.

“Saya telah laksanakan tanggungjawab selama tiga tahun. Inilah yang akan membantu saya untuk rakyat membuat penilaian berdasarkan prestasi saya tiga tahun. Kini keputusan di tangan pengundi-pengundi. Saya akan buat yang terbaik sekiranya diberi peluang lagi,” katanya.

Kamalanathan menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor selepas memenangi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen pada 2010 dengan majoriti 1,725 menewaskan calon PKR, Datuk Mohd Zaid Ibrahim.

Dalam pada itu, Kamalanathan menyifatkan pertembungan sesama sendiri calon-calon Pakatan Rakyat di kerusi Parlimen, Dun Batang Kali dan Dun Kuala Kubu Bharu sebagai tanda protes dan tidak percaya kepada kepimpinan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tags: , ,

About author

Curabitur at est vel odio aliquam fermentum in vel tortor. Aliquam eget laoreet metus. Quisque auctor dolor fermentum nisi imperdiet vel placerat purus convallis.

0 Komen

Post a Comment